Perpaduan ummah tidak mesti gabungan entiti politik

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Tentunya bicara media yang paling hangat bermula petang semalam ialah perpaduan ummah dan masa depan hubungan 2 parti terbesar Melayu Islam iaitu antara Umno dan PAS ekoran kehadiran Presiden PAS dan beberapa pimpinan termasuk Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sepentas dengan Presiden Umno. Pelbagai versi tafsiran terpapar di media hari ini.

Di sinilah PAS selaku parti politik dan dakwah mengambil peranan besar memandu dan membimbing media dan umat untuk menggarap satu pendekatan perpaduan ummah yang holistik dan politik Islam yang matang berasaskan prinsip dan dakwah Islam.

Kerjasama atas dasar kebajikan dan taqwa, tidak atas dasar menegakkan permusuhan dan kezaliman adalah prisip asas Islam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2.

Ruang kerjasama dan perpaduan ummah tersangat luas untuk dirintis dan digarap. Ia boleh berlangsung dengan pelbagai bentuk tanpa memerlukan gabungan entiti politik. PAS akan terus berperanan memastikan semak dan imbang terus berlangsung dalam politik negara. Itulah penegasan PAS sehingga kini.

PAS menerusi penampilan Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS dalam Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia semalam membawa mesej Islam yang sangat jelas iaitu:

i) Islam sebagai asas perpaduan ummah.
ii) Islam sebagai asas pembinaan tamadun bangsa dan negara.
iii) menolak campur tangan asing yang mempromosi pertembungan dan peperangan antara muslim.
iv) Pemimpin negara perlu bersedia dikritik

Agenda yang dilakar oleh Presiden PAS ini akan digarap oleh seluruh ahli dan kepimpinan PAS untuk di bawa ke tengah masyarakat berasaskan prinsip Islam dengan merujuk kepada al-Quran, al-Sunnah, Ijma' dan Qiyas sebagaimana termaktub dalam perlembagaan PAS. - HARAKAHDAILY 18/12/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Share on Myspace