Wehdatul ummah menyanggah sekularisme

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

Pengalaman Eropah semenjak Revolusi Perindustrian pada kurun ke-17 Masihi sehingga melahirkan pemikiran sekularisme yang menjadi teras kepada kebangkitan Eropah telah diresapi masuk ke dalam benak fikiran orang Islam.

Sekularisme adalah satu fahaman yang lahir daripada kekecewaan penganut agama Kristian terhadap agama mereka yang pada pandangan mereka agamalah punca kepada kemunduran Eropah sepanjang zaman kegelapan.

Kebangkitan Eropah selepas Revolusi Perindustrian membawa kepada penyebaran idealisme sekular ke seluruh dunia khasnya dunia Islam yang dianggap senjata paling ampuh bagi mengalahkan Islam yang pada ketika itu menguasai hampir 2/3 dunia.

Peperangan Salib yang berlangsung hampir seribu tahun mengajar Eropah bahawa Islam hampir tidak boleh dikalahkan dengan senjata dan peralatan moden. Hanya dengan memesongkan umat Islam daripada Islam atau dengan kata lain dipisahkan Umat Islam daripada pegangan Islam adalah cara untuk menumpaskan Islam dan umatnya. Maka idea serangan pemikiran atau Ghazwatul Fikri serta penerapan pemikiran sekularisme dibawa ke dalam dunia Islam dengan cara yang licik dan strategik.

Penjajahan Barat dan Eropah di negara-negara umat Islam bukan sekadar untuk menguasai hasil bumi dan tanah umat Islam tetapi ialah untuk menyesatkan dan memesongkan aqidah umat Islam dan menjauhkan mereka daripada pegangan Islam yang sebenar.

Liciknya idea serangan pemikiran sekularisme ini ialah ia bukan satu bentuk fahaman menolak agama sepenuhnya akan tetapi ia adalah fahaman yang menyempitkan dan menolak fungsi agama dalam sistem kehidupan manusia sebagai cara hidup.

Hujah-hujah yang penuh dengan tipudaya direka untuk menyatakan bahawa agama Islam tidak boleh berperanan dalam beberapa aspek kehidupan manusia kononnya agama menjadi batu penghalang kepada kemajuan dan pembangunan.

Pengalaman Eropah sebelum revolusi didendangkan kepada dunia Islam bahawa Eropah pada satu ketika dahulu dikuasai oleh gereja yang menjadi punca kepada kegelapan atau kemunduran Eropah dalam pelbagai bidang.

Fahaman dan idea sekularisme ini berjaya memikat hati sebahagian umat Islam dan meresapi dan menguasai pemikiran mereka lebih-lebih lagi dikala umat Islam pada waktu itu mula menjauhi daripada pegangan ajaran Islam dan alim ulama. Ditambahkan lagi dengan pelbagai masalah dalaman negara dan umat Islam sendiri seperti peperangan, kemewahan sebahagian pemimpin, penjajahan negara Islam oleh Eropah dan Barat dan juga ramai dari kalangan ulama dan ilmuwan Islam mati dibunuh.

Negara Islam dan umat Islam dipecahkan dan difaraidkan di antara negara penjajah antara Perancis di Afrika, Inggeris di Semenanjung Arab, Itali di selatan Afrika, Belanda di Asia dan lain-lain lagi.

Dunia Islam dipetakan semula oleh penjajah-penjajah mengikut selera mereka. Pemetaan semula negara umat Islam dengan tujuan supaya Islam dan umat tidak bersatu padu sebagaimana yang berlaku sebelumnya pada zaman kegemilangan Islam sehingga berakhirnya Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah.

Tidak cukup sekadar itu, empayar Islam bukan sekadar dipisahkan dengan sebab faktor tanah, tetapi juga faktor bangsa, puak suku kaum malah juga mengikut pegangan mazhab.

Pada masa yang sama juga semangat pemikiran nasionalisme yang berasaskan perkauman ditiupkan semula agar umat Islam tidak lagi menjadi satu ummat yang dibina sejak Zaman Rasulullah s.a.w. lagi.

Inilah natijah daripada serangan pemikiran sekularisme yang membawa kepada perpecahan umat dan negara Islam.

Baru-baru ini kedengaran seruan perpaduan dan penyatuan umat Islam yang didendangkan serta dilaungkan ini bertambah rancak selepas Perhimpunan Agung Umno yang lalu hendaklah dilihat melalui sudut pandangan Islam.

Renungilah ayat dalam Al Quran dalam surah Ali Imran ayat 103:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

"..Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya..."

Ayat ini menegaskan bahawa Allah s.w.t. menyeru dan memerintahkan kepada penyatuan Umat Islam di bawah payung Al Quran yang ditafsirkan oleh para mufassirin daripada perkataan حبل (hablun).

Penyatuan umat Islam hendaklah berlandaskan kepada asas Islam yang syumul mengikut syariat bukannya sekadar seruan dengan nama penyatuan.

Oleh sebab itu Allah juga dalam ayat yang sama mengingatkan tentang sikap jahiliyyah yang pernah diamalkan oleh masyarakat Arab sebelum Islam yang berpegang fahaman asobiyyah yang tinggi yang akhirnya dipecahkan oleh Baginda s.a.w.

Ini bermakna bahawa selagi mana Umat Islam masih lagi berpegang dan bersikap jahiliiyah serta tidak merujuk kepada al Quran sebagai petunjuk, selama itulah perpaduan dan penyatuan Umat Islam tidak akan berhasil.

Hadis Nabi s.a.w.:

عطية عن أبي سعيد الخدري قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ".. كتابُ اللهِ هو حبلُ اللهِ الممدودَ من السماءِ إلى الأرضِ .".

"...Kitabullah ( Al Quran ) ia adalah tali Allah yang kukuh daripada langit hingga ke bumi.."(Sahih)

Hadis ini secara jelas menegaskan bahawa prinsip penyatuan dan perpaduan umat Islam adalah daripada pegangan teguh kepada Al Quran Al Karim yang menjadi sumber utama syariat dan dasar beragama (sistem kehidupan yang lengkap) memandukan manusia bagaimana tatacara hidup di dunia ini. Tetapi apabila Al Quran dikesampingkan daripada panduan hidup digantikan dengan akal yang terbatas dan nafsu serakah, maka kecelaruan umat manusia tidak dapat dijernihkan.

Ini ditambah lagi dengan hadis yang lain yang menyatakan bahawa kepentingan Al-Quran sebagai sumber penyelesaian dan pertikaian umat manusia. Tanpa Al-Quran, umat manusia tidak dapat menangkis segala bentuk godaan dan pujukan daripada syahwat dan syaitan.
Sabda Baginda s.a.w. lagi:

عن عبدالله إبن مسعود رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم،
".. إن هذا القرآن هو حبل الله المتين وهو النور المبين وهو الشفاء النافع عصمة لمن تمسك به ونجاة لمن اتبعه.."

Daripada Abdullah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, ".. al Quran itu adalah tali Allah yang kuat, dan ia adalah juga cahaya yang menerangi, ia penawar yang memberi kebaikan, pelindung kepada sesiapa yang berpegangnya dan penyelamat untuk sesiapa yang mentaatinya..."

Oleh itu, seruan dan ajakan perpaduan dan penyatuan yang sememangnya merupakan seruan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dengan asas syarak dan ketundukan hanya kepada Allah azzawajalla. Lihatlah bagaimana persaudaraan antara Aus dan Khazraj (Al Ansar) dipertautkan oleh Baginda s.a.w. serta dengan golongan Muhajirin menghasilkan sebaik-baik umat yang pernah dizahirkan di kalangan manusia sehingga dipuji oleh Allah dalam Al Quran.

Firman-Nya dalam surah al Hasr ayat 9:
وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

"..Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya..."

Sekularisme yang meletakkan syariat Islam di kedudukan yang hina serta menjadikan Al Quran dan as Sunnah bukan sumber utama, sudah tentu tanpa asas ini maka perpaduan dan penyatuan ummat Islam tidak dapat dibina.

Ini kerana bentuk Islam yang dikehendaki oleh sekularisme adalah ditafsirkan sebagai relegion (agama mengikut tafsiran Barat), Islam tanpa roh dan syariat tanpa Al Quran dan as Sunnah, bersikap memusuhi agama, meletakkan agama dalam peranan yang dan menjadikan agama sebagai hak kebebasan individu serta berfahaman materialisme dan duniawi semata-mata.

Prinsip sekularisme inilah menjadikan umat Islam sentiasa bermusuhan dan berpecah belah kerana asas fitrah yang dilandaskan oleh Allah s.w.t. buat manusia yang ciptakan daripada insan satu iaitu Adam a.s. serta agama Islam sebagai panduan hidup dinyahkan daripada berperanan dan berfungsi dengan sewajarnya.

Sudah pasti rentetan daripada kepincangan ini menatijahkan pertembungan di antara ideologi antara yang menolak Islam sebahagian mahupun keseluruhannya dengan yang menerima Islam sebagai cara hidup dengan sistem yang lengkap.

Oleh kerana itu, Islam hendaklah dikembalikan penafsirannya secara syumul dan serta dipraktikan dalam segenap aspek kehidupan oleh setiap muslim dan itulah sahaja landasan kepada penyatuan dan perpaduan di kalangan umat Islam.

Perkara-perkara dasar Islam seperti Aqidah dan Syariat perlu dipertahankan dan dijadikan sandaran perjuangan untuk ditegakkan dan direalisasikan bukan sekadar retorik mahupun teori semata-mata.

Kembali kepada Islam dan kesyumulannya adalah teras perpaduan dan penyatuan umat Islam serta membawa keharmonian masyarakat seluruhnya. - HARAKAHDAILY 19/12/2015

Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor juga Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Share on Myspace