Kepala dijumpai di Jolo sah milik Bernard Then

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa Filipina mengesahkan kepala yang dijumpai di Kepulauan Jolo di selatan negara itu adalah milik mangsa culik rakyat Malaysia Bernard Then Ted Fen, susulan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya dimaklumkan secara lisan mengenai perkara itu baru-baru ini, dan masih menunggu laporan bertulis daripada pihak berkuasa Filipina.

"DNA kepala yang dijumpai di Jolo padan dengan Bernard Then...saya ucap takziah kepada keluarga mendiang," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah Doktor Kehormat dalam Kepimpinan daripada Universiti Limkokwing di sini, hari Sabtu.

Khalid berkata pihaknya akan mengambil semua langkah perlu termasuk mengekstradisi pihak bertanggungjawab ke negara ini untuk memastikan Then mendapat pembelaan.

Justeru itu, katanya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara bagi menyusun proses perundangan sewajarnya dengan secepat mungkin.

"Kita akan akan ambil segala langkah perlu untuk membawa mereka yang melakukannya kepada Bernard Then menghadapi undang-undang negara kita.

"Sekurang-kurangnya, (kita) nak ekstradisi dua orang tetapi untuk itu, kena melalui proses perundangan di Filipina," katanya.

Pada 15 Dis lalu, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pasukan keselamatan Filipina telah menjumpai satu mayat tanpa kepala yang disyaki Then.

Then, yang berasal dari Sarawak, diculik sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei lepas bersama-sama pengurus restoran itu, Thein Nyuk Fun, 50. Thein kemudian dibebaskan pada 8 Nov.

Namun Then, 39, dipenggal kepalanya di lokasi terpencil di Kepulauan Jolo pada 11 Nov lepas. Kepalanya dikatakan ditemui kira-kira seminggu kemudian. - Bernama

Share on Myspace