Sekali lagi Umno cuba merisik PAS

M FAQIH | .

BETUL ke PAS hendak bergabung dengan Umno...” Inilah pertanyaan yang paling menjadi sebutan ramai sekarang. Nampaknya semua orang tertarik dengan istilah kerjasama, gabungan dan tahaluf siyasi.

Sebenarnya perkataan kerjasama kerap dijaja sejak Jun lepas. Namun sehari dua ini boleh disenarai berita paling menarik minggu ini.

Beleklah akhbar harian Melayu mana sekali pun ditemui banyak analisis dan ulasan berkisar penyatuan umat Melayu.

Ada juga lakaran kartun yang pergi jauh lagi, idealisme ke arah menyatukan PAS dan Umno. Digambar bendera bulan purnama dan keris bersimpul di hujungnya.

Kartunis lain pula melakarkan kopiah putih berlambang PAS dan songkok hitam berlogo Umno diletak sebaris di atas meja. Ia memperlihatkan seolah-olah satu agenda yang disengajakan.

Sebuah akhbar pula menyiarkan tajuk hadapan “Kerjasama Umno-PAS”  Sabtu lepas. Agenda itu mendapat respon segera seorang mufti. Katanya bersatu semula demi perpaduan Melayu.

Malah Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang bermula Khamis lepas juga mencetus resolusi kerjasama Umno-PAS dilulus sebulat suara.

Apa pun niat dan impian mereka membawa mesej mahu mempertautkan semula Umno dan PAS seperti 1973. Mengapa Umno dilihat seperti mengidam, seumpama perempuan sedang mengandung.

Adat berpolitik setiap sesuatu yang berlaku tidak boleh dibaca selapis. Kata orang dahulu, mungkinkah ada udang di sebalik batu.

Mengapa tiba-tiba penyatuan Melayu dilaung di seluruh tanah Melayu. Inilah isu yang menyentap seketika pemikiran orang Melayu.  

Baru-baru ini penulis ungkit semula rakaman sejarah lama yang berlaku sekitar 1973-1978. Sengaja ditulis tajuk “Najib ulangi jerat Tun Razak 1973” (Harakah Bil 2104).

Namun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki menolak sejarah lama ditayang semula. Beliau seperti mahukan semua pihak lupakan sejarah 1973-1978.

Apakah agenda 1978 dibiarkan berlalu begitu sahaja. Penguatkuasaan Akta Darurat (Mageran) di Kelantan pada 1977 diketahui umum tersembunyi niat sulit untuk merampas Kelantan pada Mac 1978.

Umno berjaya memecahkan PAS sehingga lahirnya Berjasa. Sebelum itu Menteri Besar kerajaan campuran PAS-Perikatan, Datuk Mohamed Nasir menunjuk sikap berkiblat kepada Umno.

Berjasa berganding bahu dengan Umno pada pilihan raya negeri pada 1978 bagi menumbangkan kerajaan PAS di Kelantan. Mohamad Nasir diberi hadiah jawatan Menteri Tak Berporfolio.

Bagaimanapun Umno bermati-matian menafikan sepanjang usia kerajaan campuran mereka mempengaruhi Mohamad Nasir.  

Lalu dicatat tindakan Datuk Hussein Onn mengisytiharkan darurat di Kelantan pada 1977 kerana bimbang berulang peristiwa 13 Mei 1969.

Sedangkan Mohd Asri dan wakil rakyat PAS menentang keras penggunaan akta tersebut memandangkan pertembungan penyokong Mohamad Nasir dan PAS jauh berbeza berbanding tragedi 1969.

Tiada korban nyawa yang menghalalkan Mageran digunakan. “Mohamad Nasir menjadi alat kepada Umno dan Tun Razak, biar pun dia orang PAS. Dia pecahkan PAS dengan tubuh Berjasa,” ujar seorang veteran Umno.

Bekas wakil rakyat Umno itu berkata jasa Mohamad Nasir memecahkan PAS dan membawa Mageran ke Kelantan.

“Tiada lagi sejarah hanya peristiwa 13 Mei 1969 sahaja boleh berlaku Mageran di Malaysia,” katanya.  

Tanpa berselindung beliau memberitahu Hussien Onn datang ke Kota Bharu dan mengumumkan PAS dipecat daripada BN di majlis perasmian bangunan Tabung Haji di Jalan Datuk Pati.

Pada ucapannya beliau menyebut Umno pecat PAS bukan kerana politik. Sedangkan kata veteran Umno terbabit ketika Mohd Asri menjadi Menteri Tanah beliau berjaya membuka cawangan PAS di Sri Gading, Johor.

Kemarahan Hussien Onn dikatakan berakar di situ. – HARAKAHDAILY 21/12/2015

Share on Myspace