Gesaan KM Sarawak tanda beliau orang yang berani

A KADIR JASIN | .

HANYA orang yang tidak ada apa-apa untuk disembunyikan aka “nothing2hide” berani menggesa media massa supaya mendedahkan ketidakadilan dan salah guna kuasa demi kebenaran.

Atau orang itu memang hebat merahsiakan kerja kotor sehingga mustahil boleh dikorek oleh media massa.

Itulah yang dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak, (Tan Sri) Adenan Satem pada 18 Disember baru lalu.

Berucap di majlis anugerah kewartawanan Kenyalang di Kuching, beliau menggesa pengamal media agar tidak berdiam diri.

Kebetulan waktu itu saya berada di Kuching dalam rangka tinjauan peribadi ke Sabah dan Sarawak.

Saya yakin Adenan berani membuat gesaan itu kerana beliau tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan atau beliau bersedia berterus terang jika ada sesuatu yang dibangkitkan mengenai beliau dan pentadbiran beliau.

Sejak menjadi Ketua Menteri pada 1 Mac lalu, Adenan telah memecah acuan dengan mengamalkan dasar terbuka dan terus terang.

Di majlis yang sama, beliau dilaporkan berkata bahawa kerajaan pusat enggan memahami betapa buruknya rasuah yang melanda negara.

“Saya dengar banyak tahun lalu dakwaan bahawa tahap rasuah di Malaysia tidak terlalu teruk; tidak banyak kes rasuah dan salah guna kuasa berlaku, tidak seperti di sebuah negara jiran di mana rasuah dan salah guna kuasa dilakukan secara terbuka.

“Tetapi tidak lagi macam itu. Kita telah menyalah-tafsir keadaan sebenar (di Malaysia),” katanya.

Antara tindakan terawal Adenan sebagai Ketua Menteri adalah mendedahkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam industri pembalakan Sarawak.

Kuasa Kerajaan Tidak Mutlak Lagi

Di dalam membuat gesaan itu, beliau tentu sedar bahawa pada dalam era media berpaksikan Internet ini, kemampuan pihak berkuasa mengawal dan menentukan arah tuju laporan media semakin luntur dan terhad.

Jadi, walaupun mungkin ada media di Sarawak yang pro-Kerajaan, adalah mustahil bagi Adenan atau sesiapa juga mengawal keseluruhan media.

Kesimpulannya seruan beliau itu adalah ikhlas dan keberanian beliau itu berlandaskan peribahasa berani kerana benar.

Pendirian tegas beliau itu tambah bermakna menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang perlu diadakan tahun hadapan.

Sebarang tanda yang beliau terlalu tunduk atau taasub menyokong kepemimpinan bermasalah Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak akan menjejaskan sokongan pengundi Sarawak terhadap Barisan Nasional negeri.

BN Sarawak adalah istimewa kerana ia dianggotai eksklusif oleh parti-parti anak negeri dan, dengan itu, kurang dicemarkan oleh politik BN pusat.

Ini menjadikan autonomi Sarawak dalam Persekutuan Malaysia lebih bermakna.

Sebaliknya kalau Adenan memilih untuk tidur sebantal dan berkongsi mimpi dengan Mohd Najib, beliau mungkin akan dihukum oleh pengundi Sarawak. - kadirjasin.blogspot.my/

Share on Myspace