Gabung dengan Umno, rujuk media parti

USTAZ IDRIS AHMAD | .

SEJAK Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 pada 17 Disember lalu yang berjaya menampilkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang di pentas yang disediakan oleh proksi kerajaan telah membuktikan PAS tidak akan ikut agenda orang lain, tetapi ikut apa yang diajar oleh agama.

Heboh di peringkat media sosial dan media perdana, PAS hendak bergabung dengan Umno.

Ingin saya tegaskan bahawa PAS ada organisasi daripada peringkat Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan muktamar.

Pandangan peribadi tidak boleh dipakai. Jika ada individu yang hendak bergabung dan teringin dengan Umno, maka individu itu sahaja yang pergi.

PAS pernah kehilangan Yang Dipertua PAS Ustaz Haji Ahmad Fuad, Datuk Asri Muda, Naib Presiden PAS Ustaz Nakhaie Ahmad, Panglima Jihad Ustaz Hasan Adli, Setiausaha Agung PAS Ustaz Osman Abdullah dan banyak lagi tokoh yang lari bersama Umno.

Persoalannya adakah PAS lemah?  PAS tetap hebat kerana dasar, bukan kerana individu. Siapa pun boleh pergi, insya Allah PAS berdiri gagah.

Ahli PAS dan penyokong mesti jadikan Harakah dan Harakahdaily sebagai rujukan keputusan parti. Hadir ke program dan dialog bersama pemimpin PAS.

Dapatkan maklumat secara terus daripada pimpinan yang bercakap atas kapasiti keputusan parti bukan pandangan peribadi.

Jangan jadikan media perdana, media sosial, hatta media alternatif,  mereka ada agenda yang tersendiri untuk memadam cahaya perjuangan PAS. - HARAKAHDAILY 21/12/2015

Penulis ialah Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Share on Myspace