Cabaran kritikal ekonomi Malaysia tahun 2016

NASRUDIN HASSAN | .

Sepuluh hari menuju tahun baru 2016, negara di ambang kebimbangan kritikal ekoran harga minyak global terus menjunam di bawah anggaran semasa.

Dua indikator kontrak hadapan minyak global iaitu Brent dan West Texas Intermediate (WTI) menunjukkan paras harga berlegar sekitar AS$36 dan AS$34 setong pada tahun ini.

Ia akan mengulangi masalah yang sama seperti tahun lalu apabila unjuran purata tahunan yang dianggarkan oleh kerajaan meleset terlalu jauh.

Bajet 2016 yang dirangka berdasarkan anggaran purata harga minyak AS$48 setong (Brent) pada tahun hadapan. Hal ini menunjukkan julat perbezaan projeksi tersebut adalah melebihi AS$10.

Penurunan harga minyak sudah tentu akan terus menjejaskan hasil kerajaan daripada sumber petroleum yang kini dianggarkan kira-kira RM31.7 bilion pada tahun 2016 berbanding RM43.8 bilion pada tahun 2015. Ia sudah tentu akan memberikan tekanan kepada hasil cukai pendapatan dan Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Dampak ini juga sejajar dengan kejatuhan berterusan kadar Ringgit Malaysia ekoran daripada pengumuman kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

Sedikit sebanyak ia akan turut memburukkan keadaan ekonomi negara khususnya pertukaran mata ringgit berbanding dolar yang dijangka akan berada sehingga paras RM4.35 hingga hujung tahun ini.

Kebergantungan berterusan ekonomi negara kepada perkembangan global terus memberi kesan langsung kepada rakyat.

Kerajaan akan menggunakan pilihan utamanya iaitu terus menaikkan kadar cukai samada cukai pendapatan, cukai korporat dan yang paling teruk adalah kenaikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada tahun hadapan.

Rakyat telah menderita dengan segala pakej kenaikan harga pada tahun 2015 terutamanya yang melibatkan pengangkutan awam dan tol.

Kini, kerajaan berkemungkinan besar akan terus menghapuskan subsidi kepada rakyat bagi menampung perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang bernilai kira-kira RM 265 bilion.

Jika trend ini berterusan, maka tahun 2016 dan 2017 akan lebih teruk lagi sebelum kerajaan memfokuskan kepada pemberian ‘goodies’ pilihan raya menjelang tahun 2018. - HARAKAHDAILY 21/12/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Share on Myspace