Guru wanita maut terkena tayar lori bauksit tercabut

BERNAMA | .

KUANTAN: Seorang guru wanita maut setelah kereta yang dinaikinya terkena tayar tengah lori membawa muatan bauksit yang tercabut di Jalan Pintasan-Pelabuhan berhampiran Sungai Karang, di sini petang tadi.

Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Ahmad Nazri Zainal berkata mangsa Nohaili Ahmad Zabidi, 40, merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Balok.

"Kejadian berlaku pada pukul 3 petang apabila tayar tengah sebelah kanan lori yang dari arah Kuantan menghala ke Pelabuhan Kuantan itu telah tercabut dan terpelanting ke bahagian hadapan kereta Perodua Myvi yang dinaiki mangsa dari arah bertentangan.

"Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan penumpang hadapan kenderaan berkenaan cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Namun pemandu kereta tersebut yang berusia 42 tahun tidak cedera," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.

Ahmad Nazri berkata polis sedang mengesan pemandu lori berkenaan yang syarikatnya beralamat di Puchong, Selangor, kerana dipercayai melarikan diri sejurus selepas kemalangan itu berlaku.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pemandu lori berkenaan diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Share on Myspace