2 'tragedi air' di Terengganu sangat menyedihkan

HARAKAHDAILY | .

Dr Azman mendengar penerangan daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu (atas) dan bersama anggota Bomba dan Penyelamat ketika operasi mencari mangsa lemas di Rhu 10.

KUALA LUMPUR: "Dua tragedi kemalangan di dalam air yang meragut nyawa berlaku dalam masa tiga hari di negeri Terengganu adalah sangat menyedihkan," kata Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

Katanya, tragedi pertama di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu pada 19 Disember lalu menyebabkan seorang anak berusia 9 tahun menjadi yatim piatu setelah ibu, ayah beserta 3 kakaknya mati lemas dalam satu insiden yang sangat menyayat hati.

Pagi semalam pula, ujarnya kira-kira jam 10 pagi, belum pun reda kita dengan kesedihan tragedi Belukar Bukit, Pantai Rhu 10 di Setiu pula dikerumuni orang ramai di mana dua orang dikhuatiri lemas.

Beliau berkata, antara persamaan kedua-dua tragedi ini ialah, mangsa berasal dari negeri lain dan berada di Terengganu sempena musim cuti persekolahan.

"Bagi pihak Khidmat Malaysia Negeri Terengganu suka saya mengingatkan bahawa negeri Pantai Timur termasuklah negeri Terengganu sekarang ini berada dalam tempoh musim tengkujuh sekalipun banjir masih belum berlaku," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dalam tempoh bulan Oktober sehingga Mac biasanya cuaca berada dalam keadaan tidak stabil serta sukar untuk dijangka.

"Ada ketikanya laut kelihatan tenang tapi dengan tiba-tiba ada ombak besar yang melanda dan menarik mangsa ke tengah laut.

"Ada ketikanya air terjun mengalir indah dan seronok untuk mandi  manda tetapi kepala air datang tanpa diduga yang boleh mengundang petaka," ujarnya lagi.

Lantaran itu, kata beliau Khidmat Malaysia Terengganu menasihatkan supaya segala aktiviti perkelahan atau rekreasi yang melibatkan pantai, air terjun atau sungai dihentikan untuk sementara demi keselamatan bersama.

Khidmat Malaysia juga, katanya merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa kedua-dua tragedi Belukar Bukit dan Rhu 10.

"Semoga Allah mengurniakan kesabaran dalam menghadapi saat-saat sukar sebegini," ujar beliau lagi.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada semua yang terlibat terutamanya anggota-anggota Jabatan Amal Malaysia yang memainkan peranan penting membantu pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat di Belukar Bukit serta di Pantai Rhu 10  dengan penuh disiplin dan komitmen.

"Semoga segalanya diganjari Allah dengan sebaiknya," ujar beliau selanjutnya. - HARAKAHDAILY 22/12/2015

Share on Myspace