Imigresen Sarawak perlu guna sistem talian sepenuhnya

JOFRI JARAIEE | .

MIRI: Setiap tahun pemohon Pas Lawatan (Sosial) mesti mendapat pengesahan atau cop dari pegawai kerajaan yang telah dilantik untuk mendapatkan tandatangan, cop Mahkamah Seksyen / Majistret / Pesuruhjaya Sumpah yang membenarkan seseorang warganegara asing yang bukan bertaraf warganegara Malaysia untuk masuk dan berada di Malaysia.  
 
Pihak pemohon atau penaja akan mengisi borang yang telah disediakan dan setelah diisi pemohon perlu mendapatkan Surat Akuan pengesahan dengan tandatangan, cop Mahkamah Seksyen / Majistret / Pesuruhjaya Sumpah daripada pegawai yang berkenaan.
 
Untuk mendapatkan surat pengesahan berkenaan, pemohon kena pergi ke Pejabat Residen atau Mahkamah Seksyen. Sudah pasti ia menyusahkan pemohon yang terpaksa keluar semula daripada jabatan imigresen semata-mata untuk mendapatkan surat pengesahan tersebut.
 
Kadang-kadang pemohon terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan surat pengesahan dari pegawai yang berkenaan terutama dari Pejabat Residen kerana pegawai bercuti tanpa ada pegawai lain yang boleh diberi kuasa untuk mengesahkan surat berkenaan.
 
PAS Sarawak mengesa pihak Imigresen Sarawak di Miri boleh melantik seorang pegawai dalam jabatan Imigresen yang diberi kuasa mengesahkan Surat Akuan dengan tandatangan, cop Mahkamah Seksyen / Majistret / Pesuruhjaya Sumpah tanpa perlu pergi ke Jabatan yang berkenaan.
 
Pihak Imigresen Sarawak juga perlu menggunakan sistem dalam talian sepenuhnya untuk memudahkan orang ramai yang ingin memohon Pasport Malaysia antarabangsa dan mengurangkan kesesakan di jabatan Imigresen seluruh negeri.
 
Pihak Imigresen boleh mengurangkan kesesakan dan memudahkan orang ramai dengan menggunakan sistem dalam talian apabila memohon Visa, Pasport Antarabangsa, Permit Masuk dan sebagainya.
 
Pemohon hanya datang ke pejabat Imigresen selepas permohonan itu diluluskan oleh pegawai Imigresen tanpa perlu menunggu dalam barisan panjang di pejabat imigresen.
 
Mungkin sistem ini sudah ada tapi tidak digunakan sepenuhnya tanpa pengetahuan orang ramai dan pihak Imigresen perlu memberi penerangan atau menempatkan sistem dalam talian di jabatan berkenaan untuk orang ramai menggunakannya terutama mereka yang tidak mempunyai kemudahan tersebut.
 
Kita harap pihak Imigresen dapat membaik pulih sistem berkenaan dengan lebih mesra pengguna. Ini bukan saja memudahkan pengguna tetapi akan mengurangkan bebanan tugas pegawai Imigresen dalam menguruskan pemohonan orang ramai dengan lebih cekap dan lancar. – HARAKAHDAILY 22/12/2015

Share on Myspace