Terengganu bekal air ke sempadan Kelantan

ASRI DAUD | .

PASIR PUTEH: Semalam sejarah baru tercatat apabila Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) bersetuju membekal sementara air ke beberapa kampung di kawasan sempadan di Kelantan.

Perjanjian tersebut bagi membekalkan air bersih kepada penduduk di Bukit Yong dan Tok Bali. Pada perjanjian itu Kelantan diwakili Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Perjanjian berkenaan disaksikan Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Perjanjian bekalan air terawat itu dipersetujui mesyuarat Exco kerajaan negeri pada 13 Oktober lepas.

Malah cadangan mendapat bekalan air dari SATU pernah dibuat pada 2011 semasa Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerajui Kelantan.

Usaha berkenaan dilakukan memandangkan kampung-kampung di kawasan sempadan Besut-Semerak mendapat bekalan air bersih dari Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, Machang.

Manakala kawasan sempadan di Bukit Yong pula mendapat bekalan air bergraviti (GFS) di kawasan tadahan Bukit Yong.

AKSB sebelum ini menghadapi masalah tekanan air di kawasan sempadan Besut memandangkan kedudukannya di kawasan penghujung.

Ustaz Ahmad berkata, pembelian air terawat dari SATU bersifat jangka pendek sementara menunggu siapnya projek menaik taraf LRA Merbau Chondong Machang.

Katanya loji berkenaan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun hadapan. Melalui Perjanjian tersebut SATU akan membekalkan air terawat kepada 1,200 pengguna di Semerak dan Bukit Yong dengan kapasiti 150,000 ribu meter padu sebulan.

“Inilah usaha kerajaan negeri menyelesaikan beberapa masalah dialami penduduk di Pasir Puteh. Kerajaan negeri sentiasa menjaga kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya di majlis berkenaan. - HARAKAHDAILY 22/12/2015

Share on Myspace