Hati-hati dengan usaha untuk pecah belah PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli PAS perlu berhati-hati kerana kemungkinan perkembangan politik terkini adalah satu perancangan secara halus untuk memecahbelahkan PAS, kata Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar A Samad.

Menurutnya, Presiden PAS hanya sekadar menghadiri Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 tetapi terdapat media yang mencanangkan seolah-olah PAS akan bersatu dengan Umno atau PAS akan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Umno.

Pimpinan Umno pula, ujar beliau kelihatan bersungguh-sungguh untuk 'meminang' PAS.

"Media-media yang selama ini memusuhi PAS atau sentiasa memburuk-burukkan pimpinan PAS telah menjadikan isu ini berita utama mereka, kononnya pelbagai inisiatif sedang dirancang bersama oleh kedua-dua parti," ujarnya yang juga Persuruhjaya PAS Selangor dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, mereka mendakwa terdapat kumpulan yang menyokong perpaduan bersama Umno dan terdapat kumpulan yang menentang, mungkin agar ahli-ahli PAS bergaduh sesama sendiri.

"Maka ahli-ahli perlu berwaspada dengan taktik seperti ini. Berhati-hati kerana political move dari Umno ini mungkin terdapat 'udang di sebalik batu'," ujarnya.

Teasnya, umat Islam juga sentiasa diingatkan agar tidak digigit dari lubang yang sama. - HARAKAHDAILY 23/12/2015

Share on Myspace