Isu guru 'duka lara': Moga bukan sekadar retorik

HARAKAHDAILY | .

PERSATUAN Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bersedia untuk mengembalikan semula pasangan warga pendidik yang selama ini  telah lama berjauhan dengan keluarga dan anak.-anak  tercinta .

Statistik dan unjuran guru yang hampir mencecah 30,000 ribu tinggal berjauhan dari keluarga dan pasangan masing -masing, seharusnya telah lama dibuat dan diteliti agar guru yang banyak berjasa dan menyumbang bakti mendidik anak bangsa selama ini, tidak hidup dalam keadaan tertekan  perasaan menanggung kerinduan, sehingga mengundang pelbagai implikasi negatif terhadap institusi perkahwinan dan kekeluargaan.

Bagi guru wanita pula yang berjauhan dari suami hingga ke Sabah dan Sarawak, ada yang sehingga terganggu aspek emosi dan kesihatan hingga mengalami keguguran kandungan dan terdedah kepada kebarangkalian keselamatan mereka terancam akibat tinggal bersendirian.

Belum lagi diambil kira emosi anak-anak yang terganggu.

Pendidik mengharapkan agar isu 'Guru Duka Lara ' yang menjadi tumpuan beberapa minggu lalu oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahadzir Khalid bukan hanya retorik politik atau hanya sekadar, melepaskan betuk di tangga.

Isu penempatan guru harus diberi perhatian serius demi kesejahteraan pasangan guru yang selama ini terpisah jauh. Jika guru gembira, mereka akan bekerja dalam keadaan tenang dan emosi mereka tidak mudah diganggu dengan gejala 'stress' yang akan menurunkan motivasi bekerja mendidik anak bangsa.

Pendidik sangat mengharapkan pasangan guru yang tinggal berjauhan dapat 'didekatkan' seberapa segera tetapi pasangan guru yang tinggal berdekatan jangan 'dijauhkan' dan 'ditukarkan' hanya kerana 'perbezaan pendirian politik' dengan Umno-BN.

Pendidik mendesak agar parti pemerintah menghormati hak warganegara Malaysia  yang boleh memilih mana-mana pertubuhan politik yang sah dan berdaftar di sisi undang-undang dan Perlembagaan Malaysia.

Selama 58 tahun, ribuan warga pendidik yang berlainan idealogi politik telah dizalimi, dipindahkan, ditahan kenaikan pangkat, diugut dengan surat pertuduhan yang mengakibatkan tindakan tatatertib  serta ditendang macam 'bola' ke sana ke mari hingga ke pelusuk negeri dan pedalaman tanah air hanya kerana menjadi mangsa 'dendam politik'.

Mereka yang berjawatan dalam Umno di peringkat sekolah, PPD, JPN dan KPM bertindak 'menunjuk 'keangkuhan kuasa' dengan sengaja bersubahat menukarkan warga pendidik yang cemerlang dalam profesionalisme perguruan hanya kerana bersekongkol dan akur serta patuh kepada arahan pihak atasan yang merupakan 'orang politik' yang terutamanya berjawatan sebagai 'Menteri' dari Umno-BN.

Adalah amat  malang sekali apabila 'penjara organisasi' dan 'Akta Perintah Am' dijadikan hujah untuk 'menghalalkan' segala tindakan zalim mereka terhadap penjawat awam seperti warga pendidik ini dengan mengenepikan pertimbangan kemanusiaan terhadap pasangan yang teraniaya dan anak-anak yang tidak berdosa.

Pengumuman KPM bahawa seramai 1,848 orang bagi pertukaran guru yang  diluluskan, hanya jumlah kecil daripada keseluruhan permohonan guru yang ada selama ini

Pendidik merakamkan setinggi-tinggi penghargaan tahniah dan syabas serta jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada warga pendidik yang terus berdedikasi tinggi dan tabah serta sabar dalam mencurahkan ilmu mendidik anak bangsa walaupun terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan keluarga.

Pendidik menyeru agar guru bangkit menyuarakan kebenaran dan 'merobohkan' tembok kezaliman yang selama ini membelenggu jiwa dan minda pendidik. – HARAKAHDAILY 23/12/2015

NORMALA SUDIRMAN
Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik)

Share on Myspace