Haram vape: Langkah Kelantan tepati Majlis Fatwa

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Pelbagai pihak menyifatkan langkah Kelantan mengarah pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengeluarkan lesen premis vape tahun depan bertepatan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Seorang pendidik Ustaz Abdul Aziz Abdullah (kiri) berkata vape disifatkan pintu-pintu kepada gejala sosial di zaman moden sekarang.

“Ini bukan dakwaan kosong kerana ia diberitahu pegawai Pejabat Kesihatan dan polis di mana mereka mengakui vape memberi kesan terhadap kesihatan.

“Gejala vape dan merokok mengundang kepada pelbagai jenis penyakit. Oleh itu, apa yang dibuat kerajaan Kelantan bertepatan sekali,” katanya di sini.

Baru-baru ini kerajaan Kelantan mengumumkan mulai 1 Januari 2016 PBT di negeri tersebut diarah tidak mengeluarkan lesen premis kepada kedai-kedai menjual vape.

Malah Majlis Fatwa Kebangsaan juga kelmarin memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram hukumnya.

Zuhairi Ismail (kanan) dari Kota Bharu berkata, fenomena vape amat tidak sihat khususnya kepada golongan remaja sekiranya ia tidak dibendung segera.

“Sebagai guru saya risau terhadap situasi itu sekarang bukan hanya menjejaskan kesihatan, sebaliknya ia menjurus kepada gejala sosial.

“Langkah diambil kerajaan Kelantan dan Johor seharusnya disokong semua pihak lebih-lebih lagi penggunaan vape haram di sisi agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/2015

Share on Myspace