Kerjasama bukan gabung, ramai salah faham

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah menyifatkan banyak orang salah faham kononnya parti itu mahu mengadakan kerjasama politik dengan Umno.

“Banyak orang salah faham tentang isu ini. PAS sejak dari dahulu lagi mengamalkan sikap terbuka dan boleh bekerjasama dalam perkara-perkara bagi kepentingan Islam dan masyarakat.

“Bukan bermakna pengabungan antara PAS dengan Umno. Kerjasama dimaksudkan dalam isu-isu kepentingan Islam, masyarakat dan negara,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.

Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menghulur salam kerjasama kepada PAS.

Malah usaha ke arah itu terus dirintis dengan Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia apabila Najib bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi berada di satu pentas.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata mungkin dengan suasana sekarang orang ramai mudah membuat spekulasi dan andaian.

“Untuk bersatu dengan Umno masuk Barisan Nasional (BN) itu tak ada. Tiada keperluan untuk kita bergabung. PAS pernah sertai BN pada 1974 dan tidak mungkin kita mahu digigit dua kali,” ujarnya.

Ditanya cadangan Parti Amanah Negara mahu bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 katanya, ia akan memecahkan undi pembangkang dan akan memberi kelebihan kepada Umno.

“Siapa nak bertanding di Kelantan kita tak sekat tapi dia kena ingat kerana parti itu pernah membuat kenyataan tidak akan kacau Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/2015

Share on Myspace