Ali Tinju akan dipecat dari Persatuan Veteran

BERNAMA | .

IPOH: Veteran tentera Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju akan dipecat keanggotaannya daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) ekoran tindakannya yang sering menimbulkan kontroversi.

Naib Presiden PVATM, Leftenan Komander (B) Jayah Said berkata keputusan itu akan dibuat kerana tindakan atau kenyataan Ali Tinju sejak kebelakangan ini dilihat menjatuhkan imej persatuan.

"Kami telah mengumpul bukti kukuh untuk mengambil tindakan terhadap Ali Tinju dalam masa terdekat. Ini kerana kami tidak mahu nama baik persatuan ini tercemar akibat daripada tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh Ali Tinju selain ia melanggar perlembagaan dan peraturan pentadbiran persatuan," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Beliau yang juga Yang Dipertua PVATM Perak berkata Ali Tinju melakukan perkara yang bercanggah dengan budaya, etika dan nilai murni yang wujud dalam PVATM.

Mohd Ali turut direman dua hari mulai semalam kerana dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui aplikasi WhatApps susulan kekecohan yang berlaku di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

Beliau dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. - Bernama

Share on Myspace