Maulidur Rasul: Teladani Baginda dalam segenap aspek

HARAKAHDAILY | .

SEGALA puji dan puja bagi Allah SWT yang telah mengutuskan kekasih-Nya, Rasulullah SAW, sebagai pembela agama sepanjang zaman.

Insya-Allah, semoga kita terus berpegang teguh pada segala yang dibawa oleh  Baginda Rasulullah SAW

Firman Allah SWT

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzaab:21)

Kelahiran Rasulullah SAW bukanlah seperti lahirnya manusia lain ke dunia.

Ujian, cabaran dan liku yang Baginda tempuhi sepanjang hidup telah membuktikan Baginda insan yang selayaknya mendapat tempat istimewa di sisi Allah SWT.

Lantaran itu, kelahiran Rasulullah SAW bertarikh 12 Rabiul Awwal ini perlu dihayati dan dimaknai bukan sahaja dengan gema selawat dan salam ke atas Baginda, namun adalah lebih penting lagi bagi kita untuk menteladani Baginda dalam segenap aspek.

Allah SWT telah merakam anugerah tertinggi buat Baginda sebagai suri teladan bagi seluruh umat manusia.

Sebagai pemimpin, Baginda memikul amanah sebagai seorang ketua negara yang mendaulatkan hukum Islam sehingga tertubuhnya negara Islam pertama di dunia.

Dan pada hari ini, Islam telah tersebar bukan semata-mata kerana susuk tubuh Baginda, tetapi perjuangan Baginda mendidik para sahabat dalam memahami dan mempraktikkan Islam sebagai gaya hidup yang syumul; merangkumi aspek politik, ekonomi, pendidikan, kekeluargaan dan pelbagai lagi.

Justeru, kalam Allah dan sabda Nabi haruslah diteliti, difahami dan dijadikan rujukan utama dalam kehidupan seharian.

Tidak cukup sekadar itu, kita perlu mensyukuri nikmat Islam ini dengan meyakini, hanya Islamlah satu-satunya jalan yang akan menyelamatkan umat manusia daripada terbenam dalam noda kesesatan dan tipu daya dunia fantamorgana ini.

Menginsafi betapa runcingnya kemelut yang melanda umat Islam di Palestin, Syria, Afrika dan beberapa tempat lagi, mengingatkan kita kepada lembaran sirah perjuangan Baginda untuk mempertahankan Islam agar terus tertegak di bumi ini.

Sebagai iktibar dan ibrah untuk kita pada hari ini, usaha mendaulatkan Islam di negara ini khususnya dan di seluruh dunia amnya perlu dipertingkatkan dan dipergiat.

Dengan ini, Dewan Muslimat PAS menyeru agar semua umat Islam di Malaysia khususnya, agar menelusuri dan meneruskan perjuangan Baginda untuk memartabatkan Islam dengan mengaplikasi Islam dalam kehidupan terutamanya berakhlak dengan akhlak Islam.

Tak kenal tapi cinta.
Itulah cinta Baginda pada kita.

Bagaimana pula kita membalas cinta Baginda?
Ayuh, sambung perjuangan Baginda bersama!

Takbir!

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
11 Rabiul Awwal 1437H bersamaan 23 Disember 2015 – HARAKAHDAILY 23/12/2015

Share on Myspace