Lori bauksit dibakar lagi, dengarlah rintihan rakyat

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang perlu mengambil tindakan segera memberhentikan semua aktiviti perlombongan bauksit jika tidak mahu perkara lebih buruk berulang.
 
Ini berikutan kejadian sebuah lagi lori pengangkut bauksit dibakar kelmarin menjadikan jumlahnya enam setakat ini dipercayai dilakukan penduduk yang tidak tahan lagi dengan operasi lombong bauksit yang tidak terkawal.  
 
Timbalan Pesruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu meminta agar kerajaan mendengar suara rakyat demi kesejahteraan semua penduduk di daerah ini.
 
Beliau yang juga Adun Beserah berkata, semua perkara itu seharusnya boleh dielakkan sekiranya segala rungutan penduduk didengari dan diambil serius oleh pihak berkuasa.
 
“Saya telah kemukakan kemungkinan dan risiko-risiko ini di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri tempoh hari namun malangnya tiada sebarang tindakan bagi memperbetulkan keadaan diambil.

“Saya bimbang kemarahan penduduk yang semakin memuncak bakal menyaksikan sesuatu yang lebih buruk berlaku dan ini akan memberikan imej buruk negeri ini di mata umum,” katanya dalam kenyataan media.
 
Andansura berkata, selepas kejadian seorang guru maut akibat ditimpa tayar lori pengangkut bauksit yang tercabut kelmarin, orang ramai mula melihat kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi kepentingan penduduk selaku pembayar cukai. - HARAKAHDAILY 24/12/2015

Share on Myspace