Ikut pedoman Nabi SAW nescaya selamat

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | .

Umat Islam wajib mentaati Allah S.W.T dan Rasulullah SAW dalam segenap perkara yang ditaklifkan. Allah menempelak golongan yang sudah mendengar keterangan Al-Quran akan tetapi tetap pekak-badak dalam melaksanakan tuntutan Rasul-Nya. Oleh kerana itu, golongan yang tidak mahu mentaati Rasulullah, bahkan lebih parah ada yang menyindir, mencaci dan menghina sunnah Baginda SAW adalah golongan yang tidak mahu ke Syurga Allah. Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis:

كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ: مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى .

Maksudnya: Semua umatku akan masuk syurga kecuali mereka yang enggan. Sahabat bertanya; wahai Rasulullah siapakah gerangan yang enggan itu? Jawab Baginda; Sesiapa yang mentaatiku masuk Syurga dan sesiapa yang langgar seruanku, maka dialah yang enggan. (Riwayat Imam Bukhari)

Allah turut menegaskan agar segala perkara yang dibawa serta diperjuangkan oleh Rasulullah SAW wajib disambut untuk dilaksanakan sepenuhnya oleh umat Islam. Mereka tidak boleh berbantah dan mentakwilkan arahan Rasulullah dengan idea serta pemikiran mereka semata-mata, apatah lagi  pemikiran tersebut diciplak daripada doktrin sesat yang bercanggah dengan Syariat Islam. Firman Allah S.W.T:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا..

Maksudnya: Dan apa yang didatangkan oleh Rasul kepada kamu hendaklah diikuti (untuk dilaksanakan) dan segala perkara yang dilarang olehnya hendaklah dijauhi. (Al-Hasyr: 7)

Jika umat Islam benar-benar cintakan Rasulullah SAW, nescaya mereka akan menjunjung tinggi segala titah perintahnya dan menghayati pedoman serta perjuangan suci Baginda dalam menegakkan Islam ke seluruh pelosok dunia. Tanpa pedoman Rasulullah S.A.W, kita akan tersasar dijalanan, meraba-raba mencari kebenaran walaupun ianya jelas dihadapan. Hayatilah sirah kehidupan Baginda SAW dan terapkan dalam kehidupan kita, insya-Allah beroleh keberkatan.

Rasulullah SAW membawa slogan Aslim Taslam (hendaklah kamu menyerah diri kepada Allah, nescaya kamu selamat) sebagai suatu slogan penyelamat manusia daripada kemurkaan Allah. Rasulullah telah membangunkan keperibadian dan tamadun manusia dengan Syariat Islam. Ternyata seluruh manusia, golongan Islam dan bukan Islam telah mendapat keamanan dan kesejahteraan. Rasulullah gusar jika umatnya berubah kasih dan mencintai keduniaan lebih daripada mencintai Allah, diri Baginda sendiri dan perjuangan Islam kerana ia hanya melorongkan manusia kepada kemurkaan Allah, hayati firman Allah:

 قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ

Maksudnya: Katakanlah; jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. (Al-Taubah: 24)

Sempena memperingati kelahiran Baginda SAW, ikutilah segala suruhannya, penuhi sabdaannya dan laksanakan sunnahnya dalam semua aspek sama ada dalam berpakaian, perkahwinan, menjana amalan dan kenegaraan tanpa ada pemisahan antara satu sama lain. Hanya dengan pedoman Baginda SAW, umat Islam selamat!

USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
MENTERI BESAR KELANTAN
12 Rabiul Awwal 1437/ 24 Disember 2015 - HARAKAHDAILY 24/12/2015

Share on Myspace