Rasulullah SAW didik ummah dengan hikmah

NASRUDIN HASSAN | .

Sempena umat Islam digamit perhatian mereka kepada ulang tahun Keputeraan Baginda Rasul s.a.w., maka suka ambil kesempatan ini untuk berpesan kepada diri saya dan kita semua agar menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. dalam setiap sendi gerak perjuangan kita semoga ianya diberkati Allah swt.

Serentak itu, hendaklah kita bangkit meninggikan Izzah Islam dengan menjulang syariat dan syiarnya, justeru Islam adalah Bahtera Penyelamat yang mampu menyelamatkan negara dan rakyatnya dari perangkap jahiliyah moden.

Perjuangan kita ialah perjuangan Islam untuk membebaskan manusia daripada syirik, mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama hamba, merungkai belenggu jahiliyah dari pemikiran ummah dan menentang kezaliman serta penindasan.

Perjuangan ke arah membentuk sebuah negara yang maju, aman, sejahtera, namun bebas dari mungkar dan fasad serta mendapat keampunan daripada Allah swt.

Qudwah dari Rasulullah s.a.w. yang patut diteladani ialah bagaimana Baginda s.a.w. memimpin ummah dengan kesempurnaan dan kemuliaan akhlak. Mendidik ummah dengan hikmah dan bistari. Melunakkan hati yang liar, menjinakkan jiwa yang keras, melembutkan lidah yang kasar, meluruskan niat yang pesong dan menganjurkan al-amru bil ma'ruf wa nahyu 'anil munkar. Menzahirkan sifat terpuji dan melucutkan sifat tercela. - HARAKAHDAILY 24/12/2015

Share on Myspace