Mayat pelajar tahfiz ditemui 75 km dari lokasi lemas

BERNAMA | .

KUALA TERENGGANU: Mayat pelajar tahfiz yang hilang ketika bermain air bersama rakannya yang lain di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu Isnin lepas ditemui di Pantai Kelulut, Marang, tengah hari tadi.

Mayat Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, ditemui terdampar di pesisir pantai itu, kira-kira 75 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 12.05 tengah hari oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Elias Abu Bakar memberitahu Bernama, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat dan ahli keluarga telah membuat pengecaman dan mengesahkan mayat berkenaan berdasarkan identiti, pakaian dan bentuk fizikal.

Isnin lalu dua pelajar yang berasal dari Johor yang sedang mengikuti program keagamaan sempena cuti sekolah di Masjid Kampung Banggol, Setiu hilang ketika bermain air di pantai itu kira-kira pukul 9.30 pagi.

Seorang lagi rakan mereka, Ahmad Izad Shahruddin, 17, berjaya diselamatkan orang ramai manakala Muhamad Naim Adnan ditemui lemas, Selasa lalu.

Mayat Muhamad Naim ditemui terapung kira-kira pukul 11.45 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Sementara itu, kembar mangsa Muhammad Wafiy Mohd Noor, 17, bersyukur apabila mayat adiknya berjaya ditemui selepas lima hari menunggu.

"Menerusi rupa paras dan pakaian yang tersarung memang ia adalah milik adik kembar saya...terima kasih kepada semua pihak termasuk penduduk kampung yang bertungkus lumus mengesan mayat adik saya," katanya. - Bernama

Share on Myspace