Umno BN kekal, rakyat terus derita

HARAKAHDAILY | .

SAYA mengucapkan tahniah di atas berita muka depan akhbar Harakah edisi 25-28 Disember 2016 yang mendedahkan nasib keluarga Puan Norliza Hashim dari Taman Lembah Maju, Ampang.

Melalui berita bertajuk "BERHENTI SEKOLAH DEMI ADIK", Harakah telah memberi perhatian kepada nasib rakyat Marhaen di bawah pemerintahan Umno BN di Malaysia.

Di sebalik kehebatan yang dicanang oleh pemimpin negara, kehidupan rakyat bawahan hari ini adalah tidak menentu.

Walaupun pelbagai bantuan telah dihulurkan oleh pelbagai pihak seperti Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Negeri ADN Chempaka namun nasib keluarga tersebut dan ramai seperti mereka tidak akan berubah sehingga berlaku perubahan yang drastik di negara kita.

Peningkatan kos sara hidup, pelaksanaan GST, kekurangan peluang pekerjaan dan pelbagai faktor yang menghimpit rakyat adalah ciri-ciri pemerintahan Umno BN.

Keluarga Puan Norliza telah menerima pelbagai bantuan dari PKM seperti bantuan Jom Shopping dan Back To School. Mereka juga telah menerima bantuan dari Masjid Al-Azim, Pandan Indah. Mungkin tidak ramai yang mengetahui perkara ini kerana ia tidak dilaporkan oleh edisi Harakah tersebut.

Pusat Khidmat ADN dan PAS Kawasan Pandan telah menziarahi keluarga itu pagi tadi dan Puan Norliza telah menyatakan bahawa anak beliau, Intan Nadrah Ismail, tidak akan berhenti sekolah seperti yang dilaporkan oleh Harakah. Kami mengucapkan syukur kerana pendidikan amat penting bagi meningkatkan tahap ekonomi sesebuah keluarga. Anak beliau merupakan pelajar Sekolah Menengah Pandan Indah.

Terdapat ramai lagi keluarga seperti keluarga Puan Norliza di kawasan bandar dan pinggir bandar seperti Pandan. Pihak kami boleh memperkenalkan kepada pihak Harakah ramai keluarga-keluarga tersebut malah yang lebih dhaif dari itu. Dalam kes ini Harakah telah turun tanpa pengetahuan PKM atau PAS Kawasan.

PKM memiliki senarai penerima bantuan dan mereka yang dhaif. Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi PKM di 03-9283 3835.

PKM dan PAS Kawasan Pandan melalui Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan mempunyai pelbagai program untuk membantu mereka yang memerlukan. Masjid-masjid dan surau-surau juga turut membantu seperti melalui skim bantuan barang dapur bulanan.

PKM dan masjid-masjid juga mengusahakan bantuan daripada Pusat Zakat Selangor.

Pusat Zakat juga menganjurkan program Khatan Perdana untuk anak-anak asnaf. Tahun ini program tersebut telah diadakan di Masjid Al-Azim bagi peringkat kawasan Dewan Negeri Chempaka.

Kerajaan Negeri Selangor juga mempunyai program bantuan khusus di bawah skim Hijrah bagi mereka yang berhasrat untuk memulakan perniagaan kecil.

Untuk membantu anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah, PKM juga menganjurkan program-program motivasi pelajar serta kursus-kursus bimbingan dengan bayaran yang paling minima.

Walau bagaimanapun perubahan drastik kepada nasib rakyat tidak akan berlaku selagi Umno BN kekal di Putrajaya.

YB DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ahli Dewan Negeri Chempaka
25 Disember 2016

Share on Myspace