Sekatan atlet Israel: DAP lahirkan sikap sebenar

AHMAD FADHLI SHAARI | .

Tindakan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang menyelar langkah kerajaan Malaysia menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel yang dijadual menyertai satu kejohanan di Langkawi yang bermula hari ini telah mencerminkan sikap sebenar DAP dalam isu Palestin.

Dua atlet tersebut, Yoav Omer dan Noy Drihan telah dilaporkan tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk mengambil bahagian di dalam dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf).

Dalam kenyataan Chong Zhemin, beliau telah menyelar Menteri  Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang dilaporkan memainkan peranan dalam penafian visa berdasarkan dasar diplomatik Putrajaya terhadap Israel.

Menurut Chong Zhemin, sentimen politik dan peribadi telah digunakan dalam acara sukan antarabangsa itu.

Hakikatnya, kenyataan Chong Zhemin itu ialah merupakan gambaran sikap DAP yang pro Israel.

Perlulah diingatkan bahawa tindakan ini bukanlah bermaksud mencampuradukkan politik ke dalam sukan namun ia hanyalah adalah pelaksanaan polisi terhadap hubungan diplomatik Malaysia-Israel yang telah diputuskan sekian lama.

Boikot terhadap Israel sewajibnya berjalan bukan dalam isu sebegini sahaja namun dalam semua lapangan sebagai satu tekanan terhadap mereka yang terus menerus melakukan keganasan di bumi Palestin.

Ini bukanlah satu tindakan yang pelik di peringkat antarabangsa. Pada Januari 2014, seorang atlet warganegara Israel, Dan Mori telah dihalang dari memasuki Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai satu lambang solidariti kepada rakyat Palestin.

Pada waktu itu, Dan Mori merupakan pemain kepada sebuah kelab bolasepak Belanda, Vitesse Arnhem.

Pada bulan Mei yang lepas pula, pihak bekuasa Morocco juga telah mengenakan sekatan terhadap pasukan judo dari Israel untuk menyertai Kejohanan Dunia Judo di Rabat sekalipun menerima kritikan hebat dari media massa Tel Aviv.

Bahkan negara jiran Malaysia, Indonesia juga telah mengenakan sekatan kepada pemain badminton Israel, Misha Zilberman daripada memasuki negara tersebut pada bulan Ogos lepas untuk menyertai Kejohanan Badminton Dunia.

Ini belum lagi mengambil kira langkah peribadi atlet-atlet pelbagai jenis sukan yang tidak turun bermain sekiranya menentang atlet daripada negara haram Israel.

Apa yang perlu difahami oleh DAP ialah isu Palestin bukanlah isu politik dan peribadi, tetapi ia adalah isu kemanusiaan. Tidak membenarkan atlet Israel daripada memasuki negara ini merupakan langkat tepat sebagai menyatakan kebersamaan dengan seluruh masyarakat dunia yang menentang keganasan Israel di bumi Palestin.

Kerajaan Malaysia berhak menerima pujian dalam isu ini, namun kita mengharapkan agar semangat ini tidak hanya terhenti setakat menyekat kemasukan atlet negara haram tersebut bahkan wajib diteruskan dengan langkah-langkah yang lain termasuklah menghentikan hubungan perdagangan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dengan rejim haram Israel.

Berhubung kenyataan DAP Perak tersebut, ia merupakan satu isyarat jelas untuk umat Islam di negara ini untuk bangkit secara besar-besaran menolak secara total parti ini di dalam pilihan raya umum yang akan datang. - HARAKAHDAILY 27/12/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace