Cadang 2 kerja, Ahmad Maslan tak perlu jadi menteri

HARAKAHDAILY | .

Cadangan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan agar golongan berpendapatan rendah menjalankan dua pekerjaan bagi menampung kos sara hidup yang terus meningkat adalah merupakan satu cadangan yang naif dan dangkal.

Sewajarnya cadangan sebegini tidak datang dari seorang menteri yang mempunyai ruang bersuara di dalam kabinet dan berkuasa secara kolektif untuk menentukan dasar pentadbiran negara.

Ahmad Maslan tidak perlu untuk menjadi seorang menteri jika hanya mampu memberikan cadangan seperti ini.

Cadangan sebegini boleh lahir dari seorang penceramah motivasi yang hanya mampu memberikan suntikan semangat kepada masyarakat tanpa sebarang kuasa untuk menggubal dasar. Ia juga boleh lahir dari seorang pelakon lawak bagi menggembirakan seketika penonton-penonton yang sedang hiba akibat tekanan kehidupan.

Dalam dunia moden pada hari ini, sewajarnya kerajaan berfikir ke arah meringankan beban kerja. Antaranya ialah memberikan peluang lebih kepada rakyat untuk bersama dengan keluarga.

Justeru, memperkenalkan happiness index atau Indeks Kebahagiaan merupakan salah satu langkah untuk mengkaji dan memperkenalkan kaedah-kaedah bagi membantu rakyat mencapai kepuasan dan kebahagiaan di dalam hidup. Ia hanya diperkenalkan di negara ini beberapa tahun yang lepas.

Kelantan misalnya, apabila PAS mentadbir negeri ini pada tahun 1990, diperkenalkan cuti dua hari seminggu sebagai memberikan peluang kepada rakyat untuk bersama keluarga pada hari Sabtu selepas hari Jumaat diberikan jolokan sebagai hari ilmu.

Pada masa itu, kerajaan Pusat memperlekehkan langkah ini walaupun akhirnya mereka sendiri terpaksa tunduk kepada langkah pro aktif kerajaan Kelantan dengan memperkenalkan cuti dua hari seminggu. Ia secara tidak langsung memberikan ruang yang lebih kepada rakyat di hujung minggu bagi merancang aktiviti berkeluarga.

Mencadangkan rakyat menambahkan pendapatan dengan bekerja sampingan ialah satu cadangan yang sangat kontra dengan hasrat untuk mewujudkan komuniti rakyat yang bebas dari tekanan kerja. Ia bukanlah bermaksud mendidik rakyat menjadi pemalas untuk bekerja tetapi sekurang-kurangnya tidak berusaha ke arah meningkat beban rakyat yang sudah cukup terbeban.

Ahmad Maslan perlulah tahu bahawa tekanan kerja yang berterusan yang dialami oleh seseorang itu boleh mendatangkan kesan-kesan yang negatif kepada individu yang terlibat.

Tekanan kerja boleh hadir samada melalui simptom ke atas fisiologikal, psikologikal dan tingkah laku. Lalu apa gunanya sebuah masyarakat sekiranya ia dipenuhi dengan individu yang cara fikirnya setiap hari hanyalah untuk mencari duit bagi menampung kos kenaikan harga barangan yang meningkat.

Hakikatnya, cadangan Ahmad Maslan ini secara tidak langsung mengakui bahawa kos sara hidup rakyat semakin meningkat. Kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang berfikir bagaiama mengurangkan beban rakyat bukannya kerajaan yang berfikir bagaimana memeras hidup rakyat.

Inilah dugaan yang besar untuk rakyat Malaysia. Sudahlah poket hampir kosong saban waktu dengan pentadbiran pincang kerajaan Barisan Nasional, lalu hadir pula menteri yang cara fikirnya sangat memalukan seperti ini. Atau anggap sahaja Ahmad Maslan juga merupakan salah seorang individu yang menghadapi tekanan kerja sehingga mengeluarkan cadangan yang pelik tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai timbalan menteri!

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 28/12/2015

Share on Myspace