Kelantan realisai tubuh Jabatan Pendakwaan Syariah

HARAKAHDAILY | .

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada hari ini 16 Rabiul Awwal 1437 bersamaan 28 Disember 2015 telah merasmikan Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan.

Sebelum ini, Pendakwaan Syariah adalah terletak di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik).
 
Pengasingan ini adalah bertujuan untuk menjamin kewibawaan, integriti dan ketelusan pentadbiran sama ada dari aspek penguatkuasaan, pendakwaan dan juga kehakiman.

Pewujudan Jabatan Pendakwaan Syariah juga akan memberi ruang kepada  perkembangan fungsi keadilan dan peningkatan keupayaan pendakwaan yang lebih baik, profesional, efisen dan lebih bersistematik.

Selain itu, ia juga dapat membantu proses pengukuhan keupayaan pendakwaan untuk menambahbaik perkhidmatan yang diberikan, meningkatkan kecekapan pengurusan pendakwaan, serta meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan secara fokus dan komprehensif.

Sehingga Ogos 2015, 11 negeri telah mendapat perakuan, kelulusan dan perkenan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri berkaitan cadangan pewujudan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri, termasuklah Negeri Kelantan.

Maka dengan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah ini, Kelantan adalah negeri pertama di Malaysia yang merealisasikan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah yang berasingan dari sudut pentadbiran dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Ustaz Datuk Ahmad Yakob ketika berucap merasmikan jabatan tersebut berkata: Dengan tertubuhnya Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri ini, ianya akan memacu satu entiti utama dalam mewujudkan proses keadilan berdasarkan hukum Syarak dan juga peruntukan undang-undang. Usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah telah kita persiapkan semua sekali, baki lagi hanya berada di kuasa kerajaan Persekutuan untuk memberi kelulusannya. Alhamdulillah hasrat untuk kerajaan negeri siapkan persediaan dengan sempurna telah berjaya pada tahun 2015 ini, mudah-mudahan usaha kita ini dipermudahkan untuk fasa pelaksanaan nanti.

Laporan oleh Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kelantan
16 Rabiul Awwal 1437

Share on Myspace