Khidmat Malaysia ikuti secara dekat situasi banjir

HARAKAHDAILY | .

Dr Azman bersama para petugas Khidmat Malaysia Negeri Terengganu menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kg Nibong, Hulu Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Khidmat Malaysia Negeri Terengganu sedang mengikuti secara dekat perkembangan banjir yang berlaku di seluruh negeri berdasarkan laporan semasa.

Pengarah Operasi Banjir Khidmat Malaysia negeri, Dr Azman Ibrahim berkata beberapa perkara dalam perhatian pihaknya, sebagaimana berikut:

1. Hujan yang turun dengan lebat dari hari Ahad sehingga ke pagi Isnin telah reda menjelang tengah hari Isnin walaupun cuaca berterusan mendung dengan hujan renyai-renyai turun sekejap-sekejap.

2. Beberapa lokasi banjir menunjukkan paras air menurun sementara beberapa lokasi lain paras air sedikit meningkat disebabkan pengaliran turun air dari hulu ke hilir.  

3. Daerah Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun dan sedikit dari kawasan Marang antara yang terlibat setakat ini.

4. Belum ada sebarang kes kecemasan dilaporkan dan keadaan terkawal. Khidmat Malaysia Terengganu telah mengambil tindakan segera dengan melakukan tinjauan lokasi dan ziarah mangsa banjir di Hulu Terengganu pada petang Isnin (28 Dis). Beberapa buah rumah yg telah dinaiki air dikunjungi petang semalam di Kg Nibong, Hulu Terengganu. Penghuninya  memaklumkan mereka telah membuat persiapan utk berpindah pada bila-bila masa sekiranya diperlukan. Dengan perkembangan cuaca yang berterusan sekarang, kemungkinan untuk keperluan mereka berpindah adalah rendah.

5. Berdasarkan kepada perkembangan semasa, saya mengarahkan untuk semua Bilik Gerakan Banjir kawasan-kawasan diletakkan dalam mode standby sambil memantau secara dekat perkembangan yang berlaku. Biarlah laporan diterima dari anggota Khidmat Malaysia di lokasi-lokasi tanpa bergantung harap kepada laporan agensi kerajaan sahaja. Ada berlaku beberapa ketidaktepatan dalam laporan dari agensi kerajaan.

6. Oleh kerana situasi di lokasi masih mampu ditangani oleh Bilik Gerakan Banjir Kawasan-Kawasan, belum ada keperluan untuk Bilik Gerakan Banjir Khidmat Malaysia Negeri Terengganu diaktifkan. - HARAKAHDAILY 29/12/2015

Share on Myspace