Tahniah Sarawak: Tiada lagi tol mulai 1 Jan

ROBERT KENNETH ANAK HENRY | .

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak akan mengadakan majlis khas sambutan Tahun Baharu 2016 di jambatan Tun Abang Muhammad Salahuddin, Petra Jaya Khamis ini, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Misnu Taha.
    
Beliau berkata majlis yang dijangka dihadiri lebih 10,000 itu diadakan di jambatan itu bersempena pemansuhan bayaran tol di jambatan itu berkuat kuasa 1 Jan depan.    
    
Katanya, majlis dijadualkan bermula pukul 9 malam dan akan dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Dayang Nurfaizah dan Datuk Jamal Abdillah serta pertunjukan bunga api.
    
"Ini merupakan pemansuhan tol terakhir di Sarawak selepas pemansuhan bayaran tol di Jambatan Lanang di Sibu dan Jambatan ASEAN Baram, Miri," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
    
Menurut Misnu, rakyat Sarawak menyifatkan tindakan kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan ketua menteri Tan Sri Adenan Satem memansuhkan bayaran tol sebagai tindakan yang baik dalam usaha meringankan beban hidup rakyat.
    
Sementara itu, Walikota Kota Samarahan Datuk Peter Minos berkata pemansuhan tol jambatan di seluruh negeri ini merupakan hadiah bernilai kepada seluruh penduduk negeri Sarawak.
    
“Ia amat bermakna bagi golongan berpendapatan rendah dan mencerminkan keprihatinan Adenan dan kerajaan negeri Sarawak,” katanya.
    
Katanya, selain pemansuhan tol jambatan itu, penduduk negeri Sarawak juga berasa lega dengan pengurangan kadar bayaran elektrik serta pengurangan tambang feri kepada RM1 untuk setiap perjalanan.
    
“Apa-apa yang mampu mengurangkan beban kewangan rakyat sangat dialu-alukan dan dihargai rakyat malah Adenan wajar dipuji atas keputusan bijak mengurangkan beban rakyat,” katanya.
    
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Sarawak, Nor Hisham Mohammad berkata tindakan Adenan itu memperlihatkan bahawa kerajaan mampu melaksanakan sesuatu perkara positif untuk kepentingan rakyat.
    
“Adenan tidak menggunakan alasan tidak dapat dilaksanakan berikutan perjanjian terdahulu. Beliau juga mempunyai tekad politik dan perancangan strategik,” katanya.
    
Senada dengan Minos, Nor Hisham menyifatkan tindakan itu bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan rakyat malah dapat meningkatkan kadar pusingan tunai.
    
"Ketiadaan tol membolehkan jentera bomba bergerak lancar dan tidak lagi menghadapi risiko kesesakan di kaunter pembayaran tol, " katanya.
    
Pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Roznie Mazlan, 51, berkata pemansuhan tol di jambatan itu melegakan beliau yang sejak tahun 2009 terpaksa membayar RM6 setiap hari untuk berulang alih ke tempat kerja.
    
"Pemansuhan tol di semua jambatan dan jalan raya di negeri ini  jelas membuktikan kerajaan negeri dan Adenan mengotakan janji yang dibuatnya sejak mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan negeri," katanya.
    
Beberapa pengguna jalan raya yang ditemui menyatakan pemansuhan tol di jambatan itu merupakan salah satu pencapaian cemerlang kerajaan negeri di bawah kepimpinan Adenan.
    
Sebelum ini Adenan mengumumkan penurunan tarif elektrik, tambang feri serta kenaikan bantuan kebajikan kepada rakyat Sarawak yang layak. - BERNAMA

Share on Myspace