Persekolahan: Kementerian wajar ikut Kelantan

HARAKAHDAILY | .

Langkah Kerajaan Negeri Kelantan menjadualkan sesi persekolahan 2016 bermula jam 8.00 pagi bagi sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan berikutan perubahan waktu siang yang lebih singkat dari malam adalah penyelarasan bersifat fitrah dan insani.

Ia menunjukkan kepekaan dan tanggung jawab yang murni pihak Kerajaan Negeri Kelantan terhadap pengurusan rutin dilalui rakyat dapat dilaksanakan sesempurnanya, apatah lagi dalam memastikan tuntutan antara solat dan ilmu tertunai sebaiknya.

Keprihatinan seperti inilah sepatutnya dimiliki pemimpin, lebih-lebih lagi sebuah kerajaan bahawa ia berperanan terhadap bukan sahaja hal ehwal duniawi rakyat, tetapi juga membentuk capaian keredaan Allah di hari akhirat kelak.

Sungguhpun mungkin dilihat satu usaha kecil, tetapi perhatian seperti itu sebenarnya memberi kesan besar kepada urusan harian kehidupan. Ia juga menunjukkan interaksi terhadap alam ciptaan Allah di mana pemahaman mengenainya dalam kaitan hidup manusia hakikatnya mengembalikan faedah kepada manusia sendiri.

Misalnya, dengan waktu malam yang lebih panjang itu akan menyebabkan suasana gelap menjadi lebih lama apabila siang muncul sedikit lewat.

Keadaan gelap di awal pagi itu sebenarnya menimbulkan risiko keselamatan terhadap anak-anak pelajar sekolah untuk mengharungi pergerakan ke sekolah.

Maka, mengelak kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi, Generasi menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengambil langkah sama sepertimana Kerajaan Negeri Kelantan menjadualkan waktu persekolahan tersebut.

Dengan langkah tersebut, ia bukan sahaja menghindari kejadian tidak diingini, malah menjadi satu kemudahan kepada rakyat dalam menyusun pergerakan harian mereka di samping menyempurnakan tuntutan agama yang difardukan.

"Memangkin Impian Generasi"

ROSLAN MD ESA
Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi)
17 Rabiulawwal 1437 | 29 Disember 2015 - HARAKAHDAILY 29/12/2015

Share on Myspace