Banjir: Kapten Tentera Darat hilang di Amerika Syarikat

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Tentera Darat (TD) yang sedang mengikuti kursus di Missouri, Amerika Syarikat, dikhuatiri hilang apabila kenderaan yang dinaiki bersama-sama empat rakan kolejnya dihanyutkan banjir.
    
Markas TD Wisma Pertahanan dalam kenyataan di sini, hari ini, berkata Kapten Hasman Hussin menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas dan berakhir pada 15 April depan.
    
Markas TD dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Penolong Penasihat Pertahanan Kedutaan Malaysia di Washington DC, menurut kenyataan itu.   
    
"Pada 28 Dis, jam 11.45 pagi (waktu tempatan) Timbalan Ketua Perwakilan di Malawakil Washington DC, Saiful Annuar, dihubungi wakil Jabatan Negara Amerika Syarikat yang memaklumkan pegawai itu (Hasman) disyaki hilang.
    
"Beliau bersama-sama empat lagi rakan kolej telah pergi bercuti pada Sabtu, 26 Dis dan kenderaan dinaiki mereka dilaporkan telah dihanyutkan dalam banjir semasa mengharungi laluan/jalan di Pulaski County, Missouri," kata kenyataan Markas TD itu.
        
Menurut kenyataan itu, empat mayat rakannya telah ditemui, namun Hasman masih hilang.
    
"Keadaan mangsa masih belum dapat disahkan lagi. Pihak kolej dan Kedutaan Malaysia sedang mengesan Kapten Hasman," kata Markas TD.
    
Markas TD dan Pejabat Kerjasama Pertahanan (ODC) Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur masih berusaha mendapatkan maklumat terkini mengenai pegawai itu. - Bernama

Share on Myspace