Seks bawah umur: Pendidikan Islam patut ditekankan

DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

STATISTIK oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, merekodkan daripada sejumlah 6,910 kes rogol yang dilaporkan bagi tahun 2013 hingga 2015, 52% kes rogol tersebut adalah membabitkan gadis bawah umur iaitu 1,424 kes pada 2013, 1,243 kes pada 2014 dan 920 kes sehingga Oktober 2015. Lebih merisaukan, daripada 52% itu, kira-kira 90% adalah kategori suka sama suka manakala hanya 10% sahaja ketegori paksaan.

Berhubung isu ini, terdapat dua isu utama yang perlu diberikan perhatian dan tindakan segera oleh semua pihak khususnya Kerajaan. Pertama, langkah-langkah membendung gejala ini dan Kedua, hukuman ke atas pesalah dan pembelaan ke atas mangsa.

Sekiranya Pendidikan Seks atau Pendidikan Kesihatan Reproduktif yang mahu diperkenalkan nanti oleh Kerajaan hanya tertumpu pada aspek undang-undang dan kesihatan serta keselamatan, ia adalah sesuatu yang sia-sia dan berpotensi besar menggalakkan lagi gejala ini kerana ia tanpa sedar menjadi seumpama kempen ‘safe & healthy sex life’ seperti di negara-negara Barat.

Sepatutnya, pendidikan pergaulan dan bersosial menurut perspektif Islam dijadikan panduan utama dan diberikan penekanan kepada masyarakat sebagai kaedah pencegahan yang berkesan untuk melindungi masyarakat tidak kira usia dan jantina daripada jenayah rogol dan zina.

Adab berziarah seperti memberi salam dan meminta izin yang dianjurkan Islam adalah bertujuan menjaga privasi seseorang yang ada di dalam sesebuah rumah atau bilik justeru dapat memelihara maruahnya daripada terdedah kepada orang lain dan dapat melindungi tetamu tersebut daripada melihat perkara-perkara yang boleh merosakkan iman serta menaikkan nafsunya.

Adab pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan serta etika berpakaian adalah tersangat penting untuk kembali diberikan penekanan serius terutamanya di sekolah-sekolah lebih-lebih lagi dalam keadaan statistik menunjukkan data yang demikian.

Anjuran bernikah pula adalah ubat yang paling mujarab disediakan oleh Islam dalam aspek membendung gejala sosial ini. Masyarakat khususnya ibu bapa mesti  menggalakkan dan memudahkan urusan perkahwinan anak-anak. Manakala Kerajaan pula mesti membantu menyediakan insentif tertentu bagi meringankan beban pasangan yang bakal berkahwin.

Adapun pada aspek hukuman ke atas pesalah dan pembelaan ke atas mangsa, takrif rogol, kaedah pendakwaan dan perbicaraan serta hukuman ke atas pesalah dan hak-hak mangsa yang digunapakai sekarang hendaklah disemak semula dan diselarikan dengan undang-undang jenayah syariah yang telah ditetapkan oleh Islam. – HARAKAHDAILY 30/12/2015

Share on Myspace