Isteri dimaklum penemuan mayat Kapten Hasman

BERNAMA | .

JEMPOL: Siti Hazwani Ahmad, isteri Allahyarham Kapten Hasman Hussin, yang hilang apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, Amerika Syarikat, dimaklumkan tentang penemuan mayat suaminya melalui telefon oleh pihak tentera pagi ini.

"Saya terima keadaan ini dan amat berharap jenazah suami segera dibawa pulang. Saya hanya mengetahui berita mengenai suami saya apabila dikunjungi seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pagi semalam," katanya ketika ditemui pemberita di rumah bapanya di Felda Palong 13 dekat sini Rabu.

Siti Hazwani, 29, berkata beliau diminta bersedia untuk dibawa ke Amerika Syarikat bersama bapa mertuanya, namun mungkin tidak dapat berbuat demikian disebabkan dua bayinya masih kecil selain beliau sendiri belum cukup kuat kerana sedang berpantang selepas melahirkan bayi kembar lelaki baru-baru ini.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah suami saya untuk dibawa pulang," katanya, yang turut mempunyai anak sulung lelaki berusia tiga tahun.

Siti Hazwani berkata kali terakhir beliau bercakap dengan suaminya melalui telefon adalah pada 25 Dis lepas.

Markas Tentera Darat Wisma Pertahanan hari ini mengesahkan mayat Allahyarham Hasman, pegawai Tentera Darat yang dilaporkan hilang pada Sabtu selepas dipercayai dihanyutkan banjir di Pulaski County, Missouri, Amerika Syarikat, telah dijumpai pada 11 pagi 28 Dis waktu tempatan (1 pagi 29 Dis waktu Malaysia).

Allahyarham Hasman, 33, yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas, dilaporkan hilang apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya.

Di MELAKA, anggota keluarga Allahyarham Hasman yang dimaklumkan tentang penemuan mayatnya oleh wakil ATM yang datang ke rumah mereka di Masjid Tanah di sini kira-kira pukul 9 pagi ini, reda dengan ketentuan Ilahi.

Adik Allahyarham, Mohd Hairi Hussin, 29, berkata keluarga mereka akan berbincang dengan Siti Hazwani untuk menguruskan mayat Hasman.

Ketika dihubungi Bernama, beliau berkata menurut pihak tentera, proses membawa pulang mayat abangnya itu akan mengambil masa kira-kira dua hari dan keluarganya menyerahkan kepada pihak ATM untuk proses tersebut.

Katanya pihak ATM ada menawarkan Siti Hazwani dan bapa Allahyarham, Hussin Mat, 60, ke Amerika Syarikat tetapi keluarga mereka terpaksa menolak kerana Siti Hazwani masih menyusukan sepasang anak kembarnya berusia tiga bulan manakala Hussin pula kurang sihat.

Mohd Hairi turut mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak tentera kerana membantu keluarga mereka dalam menghadapi saat-saat sukar ini.

Allahyarham Hasman, anak ketiga daripada enam beradik, mempunyai tiga anak lelaki iaitu anak sulung berusia tiga tahun dan anak kembar berusia tiga bulan. - Bernama

Share on Myspace