Sejak 2010 Kias dinafi hak kolej universiti

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Anehnya kolej di beberapa negeri mudah dinaikkan taraf kepada kolej universiti, sedangkan permohonan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) dinaik taraf sejak 2010 belum dijawab.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata permohonan Kias masih dinafikan sehingga sekarang.

“Kita berharap kerajaan Persekutuan mempercepatkan kelulusannya. Kita telah berusaha memenuhi syarat dikenakan.

“Usaha telah banyak dilakukan. Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob juga telah menjelaskan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya juga sudah jumpa Menteri Pengajian Tinggi membincangkan isu berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Maahad Tahfiz Quran (SMTQ) dan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) di Nilam Puri hari ini.

Turut hadir Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik) Tengku Ab Rahman Tuan Yunus, pengetua sekolah agama dan pegawai Yik.

Kias merupakan kesinambungan Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri yang ditubuhkan pada 1965, namun dimansuhkan Barisan Nasional selepas mentadbir Kelantan pada 1978.

Bagaimanapun selepas PAS kembali berkuasa di Kelantan, kerajaan negeri melalui Yik menubuh Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah pada 1994.

Ekoran perkembangan pesatnya pada 24 Ogos 1999 dipertingkatkan dan ditukar nama kepada Kias.

Dr Fadzli berkata Kias satu-satunya kolej di Kelantan yang mengharap dipertimbang status kepada kolej universiti.

“Kita sangat-sangat berharap Kias dilulus menjadi kolej universiti sejajar dengan perkembangan pesatnya sekarang,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 30/12/2015

Share on Myspace