PAS tolak rancangan Zahid, tak perlu jawatankuasa baru

HARAKAHDAILY | .

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak rancangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengenai kos sara hidup rakyat.

Ini dianggap langkah simplistik selepas anggota kabinet mencadangkan rakyat melakukan 2 kerja bagi menampung kos sara hidup bulanan.

Penolakan itu berasas kerana sebelum ini, sejak Januari 2014 hingga Mei 2015, kabinet memang telah mempunyai sebuah jawatankuasa khas untuk menangani kos sara hidup rakyat yang telah dipengerusikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sewajarnya, pelbagai pelan dan polisi telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Sekarang tiada lagi keperluan untuk menubuhkan pelbagai lagi jawatankuasa, makmal dan kajian.

Sepatutnya, kerajaan mengambil tindakan drastik untuk memulihkan kos sara hidup rakyat dengan segera dan mesti memberikan kesan yang efektif bagi menangani cabaran ini.

Jika jawatankuasa khas sebelum ini berfungsi dengan baik dan seluruh kabinet mementingkan agenda ini, sudah pasti pelbagai langkah telah diambil sejak tahun lalu.

Namun, sepanjang tahun 2015 ini, tiada sebarang langkah penting untuk meringankan kos sara hidup rakyat, sebaliknya kerajaan mengumumkan pelbagai pakej kenaikan harga dan kadar baru yang membebankan rakyat.

Semua kadar tambang pengangkutan awam dan tol telah meningkat, disusuli dengan kenaikan pelbagai harga barangan serta perkhidmatan kesan daripada pelaksanaan GST,

Malah, menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), memang sudah terdapat satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menangani kos sara hidup rakyat yang telah ditubuhkan sejak tahun 2011.

Namun, jika kita menilainya sehingga hari ini, tiada impak yang berkesan untuk mengurangkan kos sara hidup tersebut.

PAS tidak mahu dalam tempoh 2015 dan 2016 ini, kerajaan mengambil pelbagai peluang untuk menaikkan pelbagai harga dan kadar baru sebelum mengumumkan pelbagai ‘goodies’ pilihan raya pada tahun 2017 dan 2018 nanti.

Ini adalah kitaran politik-ekonomi yang amat buruk dan ia sememangnya telah memperjudikan nasib rakyat.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
17 Rabiul Awwal 1437 / 30 Disember 2015 - HARAKAHDAILY 30/12/2015

Share on Myspace