PAS Pahang desak dihenti perlombongan bauksit

BASIRON WAHAB | .

KUANTAN: PAS Pahang mendesak kerajaan negeri segera menghentikan kegiatan perlombongan bauksit kerana ia kini sudah sampai ke tahap serius dan berbahaya kepada penduduk.
 
Mengulas mengenai isu perubahan warna air laut dan sungai, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS negeri, Andansura Rabu berkata isu pencemaran sungai dan laut telah dibangkitkan oleh orang ramai sejak pertengahan tahun lagi.
 
Namun, pihak kerajaan sentiasa berada di dalam sindrom penafian dan tidak ada sebarang langkah pencegahan diambil untuk mengatasi masalah itu.
 
Akibatnya kini sungai dan laut sekitar pelabuhan, Balok dan Beserah telah bertukar warna menjadi merah.
 
Katanya,  orang menyedari kejadian itu pada hari isnin lalu hinggga hari ini 30 Disember 2015 keadaanya semakin teruk akibat hujan turun beberapa hari lalu.
 
Menurutnya  kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini, malahan banjir besar yg melanda Kuantan pada 2013 juga tidak menjadikan sungai dan laut menjadi merah sebegini. Ini menandakan berlakunya pencemarah yang begitu teruk.

Tegasnya, kerajaan negeri sepatutnya tidak lagi menafikan bahawa punca kejadian ini adalah akibat aktiviti perlombongan bauksit.
 
“Oleh itu, saya mendesak kerajaan negeri supaya bertindak segera dengan memberhentikan segala aktiviti bauksit bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk daripada berlaku,” katanya.
 
Menurutnya lagi, tinjauan ke tempat perlombongan mendapati ia berada dalam suasana yang membahayakan.
 
Penduduk mendakwa mereka berada dalam bahaya lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh ini kerana jalan raya menjadi berselut dan licin.
 
“Kemalangan maut boleh berlaku bila-bila masa sahaja kepada pengguna jalan raya,” kata Andansura,
 
Penduduk berkata, sekiranya tiada tindakan segera diambil Menteri Besar, maka kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya bagi menangani  masalah ini dan mempastikan nyawa rakyat serta alam sekitar tidak terancam seperti yang berlaku ini.
 
Katanya setakat ini penduduk sudah melakukan berbagai perkara termasuk menghantar memorendum meminta kerajaan negeri mengatasi isu berkenaan.
 
“Saya sendiri sudah membangkitkan isu berkenaan dalam setiap sidang Dun namun pihak kerajaan negeri tidak mengambil tindakan drastik untuk mengatasinya,” katanya.  
 
Menurut Andansura, beliau berterima kasih kerana semakin ramai pihak yang menyuarakan isu berkenaan termasuk media proparti pemerintah yang turut menyiarkan berita mengenai pencemaran bauksit ini.
 
Katanya, beliau mengharapkan tindakan berani kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.
 
“Saya merayu kepada perdana menteri supaya segera mengarahkan kerajaan negeri menghentikan aktiviti perlombongan bauksit ini sehingga satu peraturan baharu di adakan.
 
“Isu bauksit ini menjejaskan kehidupan rakyat, merosakkkan kemudahan asas termasuk jalan raya serta meningkatkan jumlah kemalangan maut, saya tidak tahu apa lagi yang menjadi penghalang kepada perdana menteri untuk masuk campur,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/12/2015

Share on Myspace