Tukar agama: Hormati kuasa Mahkamah Syariah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS dengan rasa kesyukuran menyambut gembira keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengesahkan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mereka, Muhd Riduan Abdullah, yang sebelum ini sijil penukaran agama mereka telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh.

"Apa juga keputusan mana-mana mahkamah, pujian amat patut diberikan kepada Muhd Riduan Abdullah di atas kesungguhan memelihara aqidah anak-anaknya.

"Semoga beliau dan anak-anak beliau terus istiqamah bersama Islam," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan kepada Harakahdaily.

PAS juga, katanya ingin menyampaikan penghargaan di atas penghormatan dan penegasan yang diberikan oleh panel tiga hakim terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau berharap keputusan bagi kes itu menjadi rujukan penting bagi mengelakkan timbul lagi pertikaian terhadap status agama seseorang sama ada melibatkan orang dewasa atau kanak-kanak.

Sebaiknya, ujar beliau peluang daripada kes ini juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah di negara ini sekaligus menjadi ruang bagi meminda Akta 355 seperti yang dituntut oleh PAS.

"Semoga Islam dan seluruh syariatnya dapat dilaksanakan dan semakin teguh di bumi Malaysia yang tercinta ini," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Semalam, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan pengesahan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mualaf mereka, enam tahun lepas hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, mengetuai panel tiga hakim yang dianggotai Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Dr Badariah Sahamid, memutuskan perkara berkaitan Islam, isu agama dan sama ada seseorang itu beragama Islam, adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah, lapor Bernama.

"Kami berpendapat perkara berkaitan (penukaran agama) adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah," kata Balia dalam keputusan majoriti dan sependapat dengan beliau adalah Badariah manakala Hamid Sultan menentang. - HARAKAHDAILY 31/12/2015

Share on Myspace