Doakan Nur Amirah selamat, jangan buat andaian

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Keluarga amat terkesan dengan kehilangan Nur Amirah dan berharap polis mampu menyelesaikannya dengan segera.

Nur Amirah Atirah Abdul Majid, 14, dikatakan dilarikan pihak tertentu pada petang Ahad lalu (27 Disember) dengan sebuah van putih di satu kawasan berhampiran taman perumahan didiami keluarga berkenaan.

Berita menimpa dirinya kini menjadi viral di media sosial dan ramai menyatakan simpati selain bersedia membantu keluarganya sekiranya diperlukan.

Bapanya, Abdul Majid Landu, 40, (atas) eksekutif operasi di Pelabuhan Kuantan, berkata perkara menimpa anak sulungnya itu amat mengejut dan membimbangkan.

“Doa saya semoga dia berjaya diselamatkan dan pulang semula dengan selamat.

“Tiada apa yang mampu saya katakan hanya berharap semua pihak bersama membantu,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau mendakwa, Nur Amirah Atirah berjaya menghubungi keluarganya dalam tempoh singkat dan menjelaskan dirinya diculik dua lelaki serta ditempatkan di satu lokasi seperti gudang di selatan tanah air.

Laporan polis sudah dibuat keluarga kira-kira jam 8.00 malam Isnin lalu.

Katanya, perkara itu amat menyedihkan kerana sebahagian persiapan untuk sesi persekolahan yang baharu sudah dibuat.

“Baju sekolah untuknya semua sudah dibeli dan hanya tunggu untuk belikan buku sahaja,” katanya.

Ibunya, Asmah Mamai, 33, berharap Nur Amirah Atirah berjaya diselamatkan dan akan pulang segera.

“Cuma harapan saya jangan dibuat andaian yang bukan-bukan terhadap anak saya.

“Diharap pihak berkuasa bertindak cepat menyelamatkannya,” kata ibu empat anak itu.

Share on Myspace