Pembangunan: Jangan gadai kesejahteraan rakyat P Pinang

HARAKAHDAILY | .

PEMBANGUNAN pesat terutama melibatkan hartanah dan perumahan di Pulau Pinang dilihat lebih bersifat keuntungan dan bermotif komersil semata-mata yang menjurus kepada peminggiran terhadap penduduk tempatan pulau ini.

Bahkan, pembangunan terutamanya perumahan kediaman mewah bernilai tinggi amat jauh dari kemampuan hakiki penduduk di negeri ini sama ada menerusi pendapatan mahupun kemudahan untuk mendapat pinjaman dari institusi kewangan.

Keghairahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP cenderung kepada pembangunan sedemikian sememangnya menimbulkan persoalan terhadap hakikat memperjuangkan kepentingan rakyat.

Apakah imej prorakyat hanyalah gimik mengaburi mata untuk sokongan semata-mata?

Sedangkan, banyak hasrat dan suara diajukan terutama berhubung kepentingan penduduk yang ada kaitan dengan Islam dan Melayu dipandang enteng oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang, seolah-olah pentadbiran diterajui Ketua Menteri mempunyai agenda perkauman secara tersembunyi.

Perlu diingat, sebuah kerajaan berdiri hasil sokongan rakyat dan bertanggung jawab membangunkan penduduk dan wilayah ditadbirnya.

Dengan pembangunan dan sikap sedemikian, ia hanya akan 'menghilangkan' masyarakat tempatan serta segala budayanya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang menggesa seluruh rakyat negeri ini supaya mempertahankan tanah dan kediaman diduduki sebagai bukan sahaja kepentingan aset, tetapi juga maruah dan demi kesinambungan keturunan yang perlu dipertahankan.

Sedarlah bahawa keharmonian, budaya dan nilai kehidupan serta interaksi kaum yang telah wujud sekian lama ini tidak harus pupus oleh pembangunan atau penghijrahan.

Jangan ia digadaikan demi mengejar kepentingan kebendaan yang belum tentu menghadirkan kesejahteraan.

Kami juga mendesak Kerajaan Pulau Pinang mengisytiharkan secara berterus terang penegasan berkaitan dasar pembangunan terhadap negeri ini untuk penilaian masa depan penduduk.

Kami mengingatkan kerajaan negeri agar tidak menguburkan kepentingan penduduk tempatan yang menjadi identiti utama Pulau Pinang demi mengaut keuntungan kebendaan semata-mata.

AHMAD SAFUAN UJAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang
18 Rabiulawwal 1437|31 Disember 2015 - HARAKAHDAILY 31/12/2015

Share on Myspace