Pangkalan udara diserang, India tingkat keselamatan

BERNAMA | .

NEW DELHI: India meningkatkan kawalan keselamatan berikutan serangan pengganas terhadap Pangkalan Udara Pathankot di Punjab, yang menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terbunuh dan enam cedera parah.

Menurut media tempatan, dalam serangan pada 3.30 pagi itu (6 pagi waktu Malaysia), empat hingga lima lelaki berpakaian tentera menceroboh pangkalan udara berkenaan.

Ketika pertempuran berlarutan hingga 8.30 pagi waktu tempatan, dua daripada penyerang dilaporkan terbunuh.

Polis Punjab berkata penyerang dipercayai kumpulan lelaki bersenjata yang merampas kereta milik seorang pegawai kanan polis lewat petang semalam dan menggunakannya untuk memasuki pangkalan udara berkenaan.

Serangan berlaku selepas beberapa hari Perdana Menteri India Narendra Modi dilaporkan melakukan lawatan mengejut ke Lahore untuk menghadiri majlis smbutan ulang tahun kelahiran Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif pada hari Natal.

Penganalisis politik di sini percaya, serangan itu dilakukan kumpulan militan berpangkalan di Pakistan, yang cuba menggagalkan usaha untuk merapatkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. - Bernama

Share on Myspace