Hakisan serius, Adun gesa bina pulau pemecah ombak

BULETIN ONLINE | .

KUALA NERUS: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menggesa kerajaan pusat dan Terengganu dapat memberikan keutamaan kepada para penduduk Kampung Mengabang Telipot yang diancam hakisan ‘serius’.

Menurutnya, hakisan pantai yang mula dirasai oleh penduduk sekitar setelah berlakunya tambakan laut untuk memanjangkan landasan lapangan terbang.

“Kesan awal dirasai oleh penduduk Tok Jembal dan UMT (Universiti Malaysia Terengganu), kini merebak di persisiran pantai Tanjung Gelam dan Kampung Tengah.

"Sebuah wakaf rehat para nelayan di Tanjung Gelam telah ditelan ombak dan sebuah chalet milik persendirian juga turut 'dibaham’ ombak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas bergotong royong bersama-sama penduduk setempat, meletakkan guni pasir bagi mengawal hakisan di pangkalan nelayan di Kampung Mengabang Telipot dekat sini semalam.

Katanya, premis pendaratan ikan di Kampung Tengah dilihat sangat berpotensi untuk runtuh.

“Justeru, usaha penduduk dengan dibantu anggota Jabatan Amal Kuala Nerus telah memainkan peranan untuk membuat benteng penghadang dengan guni-guni pasir untuk mengelakkan hakisan yang makin membarah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran yang telah memainkan peranan untuk mengawal hakisan, bagi mengelakkan mudarat kepada penduduk.

Namun, beliau melihat, ia adalah penyelesaian sementara sahaja yang tidak akan bertahan dan kerajaan memandang serius ancaman tersebut.

“Saya mengharapkan pihak kerajaan pusat dan negeri dapat memberikan keutamaan buat penduduk, pemulihan segera perlu dilakukan.

“Pembinaan pulau-pulau buatan pemecah ombak atau benteng pemecah ombak perlu dilakukan segera,” tegasnya.

Share on Myspace