Aziz M Osman harap akhir hidupnya baik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pengarah terkemuka tanah air, Aziz M Osman berharap hidupnya akan diakhiri dengan baik sebagaimana berakhirnya cerita-cerita yang baik dalam sesebuah filem.

“Alhamdulillah, umpamanya kalau kita tengok filem, yang penting sekali akhir filem itu, ending filem itu, sama ada ‘hero’ itu terselamat atau hero itu mati.

“Harapan saya tu ending saya eloklah, kalau naik credit title akan keluar yang baik-baik,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau menyatakan demikian bersama sepentas dengan Ustaz Abdullah Khairi pada program bual bicara sempena Karnival Eksplorasi Maulidur Rasul 1437 di Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu semalam.

Sebelum itu, beliau bersama Dr Riduan Mohd Noor menjadi panelis bagi program bual bicara ‘Air Mata Syria’ pada karnival yang sama.

Katanya, beliau kurang aktif dalam dunia perfileman sejak tahun lalu apabila mula menyertai NGO Muslim Care dan menziarahi serta menyampaikan bantuan kepada pelarian Syria.

“Bukan saya tak aktif, saya masih aktif tapi kurang, dengan Allah mengizinkan saya dan membuka pintu hati dan sama-sama membantu pelarian Syria dengan Muslim Care," ujarnya.

Beliau yang mengarah dan terlibat dalam pengeluaran 16 filem sejak tahun 1990 telah dua kali menyertai misi membantu pelarian Syria, kali pertama pada 2014 dan kedua akhir 2015.

Share on Myspace