Keluarga mohon percepat bawa pulang jenazah Hasman

BERNAMA | .

ALOR GAJAH: Keluarga Allahyarham Kapten Hasman Hussin memohon Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar dapat mempercepatkan proses membawa pulang jenazah anggota tentera terbabit.

Adik Allahyarham, Mohd Hairi, 29, berkata mereka masih menunggu perkembangan terbaharu daripada ATM mengenai urusan membawa pulang jenazah kerana keluarganya sudah sepakat mengebumikan Hasman di Tanah Perkuburan Islam Solok Air Batu, Masjid Tanah di sini.

"Maklumat awal yang kami terima sebelum ini, jenazah akan diterbangkan ke Malaysia esok, namun masih tiada perkembangan terkini...diharap segala urusan dapat dipercepatkan.

"Kami sekeluarga faham proses itu mengambil masa dan banyak prosedur perlu dipatuhi, namun kami amat berharap agar pengebumian dapat dilakukan segera," katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau sekeluarga menerima kunjungan daripada Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah di Kampung Durian Daun di sini.

Rabu lepas, Markas Tentera Darat mengesahkan mayat Allahyarham Hasman, 33, pegawai tentera yang dilaporkan hilang pada 26 Dis lepas selepas dipercayai dihanyutkan banjir di Pulaski County, Missouri, Amerika Syarikat, dijumpai pada 11 pagi, 28 Dis waktu tempatan (1 pagi, 29 Dis waktu Malaysia).

Sementara itu, nenek mangsa Jaamah Ahmad, 79, berkata dia yang mula menjaga arwah sejak berusia lima tahun selepas kematian ibunya, reda dengan kehilangan cucunya, dan menyifatkan Hasman seorang cucu yang baik dan pemurah.

"Arwah begitu gemar makan sambal tumis ayam dan tempoyak apabila pulang ke kampung, namun kini tiada lagi kelibat arwah, hanya kenangan yang menjadi peneman buat saya dan ahli keluarga lain, yang pergi tetap akan pergi," katanya.

Beliau berkata Allahyarham Hasman adalah seorang yang tidak banyak bercakap, namun mesra dan gemar bergurau dengan semua anggota keluarga.

Sementara itu, Mas Ermieyati berharap proses membawa pulang jenazah dipermudahkan bagi memastikan pengebumian dapat dilaksanakan dengan baik.

"Saya berharap isteri dan seluruh anggota keluarga mangsa dapat menerima dengan tabah dugaan yang menimpa," katanya. - Bernama

Share on Myspace