Umrah: Usaha cari Nor Azimah diteruskan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Usaha mencari Nor Azimah Ibrahim, 31, rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang ketika mengerjakan ibadah umrah di Madinah, Arab Saudi diteruskan dengan melakukan pemantauan di hospital kawasan itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh bapanya, Ibrahim Abdul Rahman, 54 yang masih berada di Madinah bagi membantu pihak berkuasa Arab Saudi mencari anak perempuannya yang hilang pada 19 Dis lepas.

Beliau berkata, operasi mencari anaknya dilakukan di hospital berikutan pada hari kejadian mangsa tidak sihat.

"Usaha mencari di hospital di lakukan bagi mengesan anak saya, mungkin dia dihantar oleh mana-mana individu...namun tiada perkembangan setakat ini," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Sabtu.

Nor Azimah bersama bapa dan ibunya Zamhani Zakaria, 52, berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan umrah pada 11 Dis lepas dan dijadual pulang ke Malaysia pada 22 Dis.

Pada hari kejadian mangsa berada dalam keadaan tidak sihat dan tidak mengikuti ibu bapanya melakukan ziarah sebelum dilaporkan hilang ketika berada di Masjid an-Nabawi.

Mangsa merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak perempuan, berasal dari Seksyen 30, Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, Pejabat Konsul Malaysia di Jeddah ketika dihubungi Bernama, mengesahkan laporan kehilangan mangsa. - Bernama

Share on Myspace