Hari ini dalam sejarah PAS (3 Jan 1953)

HARAKAHDAILY | .

PERJUANGAN KEMERDEKAAN TULEN SEBAGAI RANCANGAN POLITIK PAS (3 JANUARI 1953)

PADA hari ini dalam tahun 1953, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyyah, Kepala Batas telah meluluskan tujuh Rancangan Politik PAS sebagai sebuah pergerakan politik Islam di negara ini setelah Hizbul Muslimin terkubur pada akhir 1948.

Agenda utama dalam Rancangan Politik PAS ialah memperkenalkan kemerdekaan tulen kepada rakyat Tanah Melayu, menanamkan semangat dan menjalankan cara-cara untuk mencapainya.

Enam lagi Rancangan Politik PAS ialah:

1. Memperkenalkan demokrasi sejati kepada umat Islam;
2. Menubuhkan Dewan Pemuda PAS yang akan melaksanakan cita-cita merdeka PAS, dan Dewan Ulamak sebagai penasihat keagamaan;
3. Memperkenalkan PAS kepada dunia Islam;
4. Menimbulkan cogan-cogan (syiar) Islam;
5. Menegakkan sebuah negara merdeka berasaskan rakyat; dan
6. Kemerdekaan Malaya dalam lingkungan British Commonwealth.

Enam Rancangan Politik PAS ini menunjukkan bahawa semenjak awal penubuhannya PAS telah meletakkan perjuangan mencapai kemerdekaan sebagai sasaran yang dinyatakan dengan jelas.

Konsep kemerdekaan tulen yang dipegang oleh PAS adalah kemerdekaan yang membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada pengabdian total terhadap Allah, lalu beramal dengan syariat Islam dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara secara syumul.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 3 Januari 1953 ini juga telah memutuskan bahawa "Merdeka!" menjadi cogan kata PAS, manakala bendera perjuangan kemerdekaan Alam Melayu, Sang Saka Merah Putih menjadi bendera PAS dengan memasukkan bulatan hijau di pangkal kiri sebelah atas yang tertulis di dalamnya perkataan "Allah Muhammad."

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 3/1/2016

Share on Myspace