Jenazah Kapten Hasman dijangka tiba Rabu Ini

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Jenazah pegawai Angkatan Tentera Malaysia Kapten Hasman Hussin, yang meninggal dunia dalam kejadian kenderaannya dihanyutkan banjir di Missouri, Amerika Syarikat, dijangka tiba di Malaysia Rabu ini.

Menurut kenyataan Markas Tentera Darat, jenazah Hasman dijangka diterbangkan menggunakan pesawat China Airlines pada 5 Jan kira-kira 12.20 pagi waktu Amerika Syarikat (1.20 petang waktu Malaysia) dan tiba pada 6 Jan, pukul 1.15 petang waktu tempatan.

Pesawat melalui Taipei dan akan transit selama tiga jam, katanya.

"Namun, Pejabat Atase Pertahanan Washington DC dan pihak berkuasa Amerika Syarikat masih mencari alternatif sekiranya terdapat ruang untuk menerbangkan jenazah dan Pegawai Pengiring lebih awal ke Malaysia," katanya.

Jenazah Hasman selamat tiba di New York jam 5.30 pagi tadi waktu Malaysia selepas diterbangkan dengan pesawat komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lambert-St Louis, Missouri semalam.

Hasman, 33, yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas dilaporkan hilang pada 26 Dis apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya.

Rabu lepas Markas Tentera Darat mengesahkan mayat Allahyarham dijumpai pada 11 pagi, 28 Dis waktu tempatan (1 pagi, 29 Dis waktu Malaysia). - Bernama

Share on Myspace