Malaysia hadapi 2016, pasca 2015 disalah pimpin

HARAKAHDAILY | .

Ramai dalam kalangan kita menghadapi 2016 dengan kehilangan pekerjaan. Ramai pula dijangka akan kehilangan kerja pada sepanjang 12 bulan akan datang pada tahun 2016. Pekerja-pekerja kontrak yang disambung tahun ke tahun, paling terkesan akibat perubahan angka 2015 kepada 2016.

Jun 2015 seramai 6,000 pekerja MAS hilang kerja. Menjelang tahun baru, 250 pilot MAS diberhentikan. Manakala pekerjaan para pesawah, petani, penternak dan nelayan pula kehilangan sebahagian besar pendapatan mereka akibat pemotongan subsidi dalam Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri. Ini tidak dibantu dengan dasar pertanian sedia ada yang lemah. Tahun 2015 jumlah pengangguran lebih daripada 400,000, 161,000 adalah siswazah muda, dan dijangka meningkat lebih 22% pada tahun 2016.

Negara juga semakin hilang kekuatan mata wang. Tiga tahun lalu berbanding US Dolar nilainya RM3.0615, dua tahun lalu RM3.2878, setahun lalu 3.4970, sebulan lalu RM4.2600 dan kini RM4.3020.

Angka dan fakta di atas hanyalah menunjukkan negara ini salah pimpin. Ini bersamaan dengan ungkapan Abdullah Munsyi, ratusan tahun lalu, yang telah membuat pemerhatian kesengsaraan hidup dihadapi oleh rakyat dek kerana salah pimpin.

Justeru saya mencadangkan supaya:

1) Kerajaan membenarkan pengeluaran  simpanan  KWSP bagi pekerja pekerja yang kehilangan pekerjaan.

2) Kerajaan hendaklah membuat dasar khusus berkenaan Pertanian Organik bagi membolehkan para pesawah, petani, nelayan dan penternak lebih dapat mengurangkan kos, berdikari dan menguntungkan.

3) Kerajaan perlu melaksanakan langkah berjimat yang lebih komprehensif terutamanya kos melibatkan Perdana Menteri dan menteri-menteri.

4) Kerajaan perlu memperkasakan Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar sebarang ketirisan dana awam dapat dielakkan.

5) Kerajaan perlu meningkatkan keberkesanan agensi bantuan masyarakat seperti JKM bagi lebih memudahkan dan dipercepatkan sebarang permohonan bantuan.

Saya juga menyeru kepada semua rakyat agar istiqamah bersama perjuangan mendaulatkan Islam, bersabar, jangan putus harapan, sentiasalah bertawakal kepada Allahh dan tingkatkan usaha.

Kepada para penyokong dan pendukung, saya menyeru supaya ditingkatkan lagi perpaduan dan tautan ukhuwwah serta gerak kerja tahun 2016 sebagai persiapan bagi menghadapi saat getir berdepan Umno Barisan Nasional pada PRU14 nanti.

Selamat Menyambut 2016 dengan Bismillah.

USTAZ MARZUK SHAARY
Ahli Parlimen Bachok

Share on Myspace