Kelantan rangka pelan strategik ekonomi 2016-2025

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kelantan mewujudkan Invest Kelantan Berhad dalam usaha menarik lebih banyak pelabur dalam dan luar negeri ke negeri tersebut.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, agensi itu bertindak sebagai fasilitator bagi memudahkan pelabur melabur di Kelantan.

Katanya Invest Kelantan berperanan sebagai pusat sehenti atau one stop centre dengan menyediakan maklumat mengenai peluang pelaburan.

“Jabatan dan agensi kerajaan serta usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) akan diselaraskan di bawah agensi berkenaan.

“Tujuan penubuhan bagi menarik pelaburan secara lebih tersusun dan efektif,” katanya pada ucaptama sempena Amanat Khas Tahun Baru 2016 di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri serta pusat.

Ustaz Ahmad berkata Invest Kelantan Bhd juga akan bertindak sebagai perunding dan pemudah cara membantu pelabur dari dalam atau luar negara.

Katanya misi utama agensi berkenaan iaitu ‘Tepat, Cepat Dan Mesra Pelabur’ bagi menjana ekonomi secara lebih berkesan.

Beliau juga berkata Pelan Strategik Ekonomi Negeri Kelantan 2016-2025 akan dilancarkan tahun ini.

“Manakala perbadanan-perbadanan dan agensi-agensi negeri turut disusun bagi menyelaras bidang fokus utama bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan peranan.

“Saya berharap syarikat-syarikat milik kerajaan dapat meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi bagi meningkatkan daya saing,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 4/1/2015

Share on Myspace