Sekolah aliran agama bukan tempat lahirkan ekstremis

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Sekolah-sekolah aliran agama bukanlah tempat untuk lahirkan mereka yang ekstremis agama, sebaliknya membentuk pelajarnya supaya berfahaman sederhana dan menolak keganasan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Paimuzi Yahya berkata tanggapan kononnya sekolah aliran itu menjadi tempat lahirnya mereka yang terbabit dalam kumpulan militan, adalah tidak benar sama sekali.

"Jika kita lihat, mereka yang terlibat dengan kegiatan ini (ekstremis) bukannya datang dari sekolah agama. Kebanyakan mereka direkrut dalam laman sosial dan dalam talian lain, serta tidak ada kena mengena dengan sekolah agama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan ke Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (Siraj) di sini, hari ini.

Siraj merupakan Sekolah Rendah Agama (SRA) pertama di Wilayah Persekutuan yang melaksanakan dwikurikulum iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA).

Paimuzi berkata dua SRA telah dipilih sebagai projek rintis Siraj mulai sesi persekolahan 2016 iaitu SRA al-Alusi di Datuk Keramat dan SRA Saidina Othman bin Affan di Bandar Tun Razak.

"Setakat ini, seramai 350 murid sudah mendaftar dan memulakan sesi pelajaran di kedua-dua sekolah berkenaan, dengan 26 orang tenaga pengajar," katanya. - Bernama

Share on Myspace