Tabung Adik Mohd Hasif kumpul RM15,000

HARAKAHDAILY | .

SEJAK mula dilancarkan pada 20 Disember 2015 lepas sehingga semakan pada tarikh 31 Disember 2015, jumlah yang terkumpul dalam tabung kebajikan kelolaan PAS Terengganu untuk Adik Mohd Hasif Abdul Halim yang menjadi yatim piatu dalam tragedi lemas di Belukar Bukit, Hulu Terengganu pada 19 Disember lalu mencecah RM15,000.

Pihak Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu telah berhubung dengan ibu saudara Hasif, Dr Siti Sabariah Samian untuk mengatur serahan sumbangan peringkat pertama ini kepada pihak keluarga Hasif dalam masa terdekat.

Sepanjang tempoh 10 hari yang lalu, saya banyak menerima pelbagai ragam panggilan dari segenap pelosok negara.

Ada panggilan dari pemilik sekolah yang menawarkan untuk Hasif mendapatkan pendidikan percuma di sekolah milik beliau.

Tidak kurang juga panggilan dari individu yang berhajat untuk mengambil Hasif sebagai anak angkat.

Seorang lagi dermawan menelefon untuk menaja pendidikan Hasif sepanjang hayat.

Semua ini menggambarkan bagaimana rasa bersama dan tanda simpati segenap lapisan masyarakat atas tragedi pilu yang telah menimpa keluarga Hasif.

Bagi pihak Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyumbang.

Kami di Lajnah Kebajikan PAS Terengganu sekadar membantu menyampaikan amanah tuan puan para dermawan sekalian.

Kita berdoa semoga adik Mohd Hasif terus tabah menempuh hari depan yang penuh berliku tanpa ayah dan ibu di sisi.

Syabas kepada Dr Siti Sabariah Samian sekeluarga yang telah memikul tugas yang mulia lagi murni ini untuk menjaga Mohd Hasif dengan penuh kasih sayang.

DR AZMAN IBRAHIM
Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu.
4 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 4/1/2016

Share on Myspace