Hari ini dalam sejarah PAS (5 Jan 1962)

HARAKAHDAILY | .

PAS MAHU HAK ISTIMEWA ORANG MELAYU KEKAL DAN TERJAMIN (5 JANUARI 1962)

PADA hari ini dalam tahun 1962, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-10 telah membuat desakan kepada Kerajaan Pusat supaya meminda Perlembagaan Persekutuan untuk "menetapkan hak istimewa orang-orang Melayu kekal dan terjamin selama-lamanya," ekoran dari cadangan penubuhan Malaysia yang dilihat oleh PAS akan memberi kesan buruk terhadap kedudukan politik Melayu Islam di negara ini.

Pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengumumkan cadangan penubuhan Malaysia di Singapura yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Dalam Mesyuarat Agung Khas PAS pada 15 Oktober 1961, PAS telah mengambil pendirian untuk menolak penubuhan Malaysia kerana ia "ibarat menggali kubur politik orang Melayu," sebaliknya PAS mahu sebuah negara Melayu Raya ditubuhkan melibatkan kepulauan Indonesia, Filipina dan seluruh kepulauan Melayu yang boleh menjamin kedudukan politik orang Melayu.

Sebelum ini, PAS telah menolak idea hak istimewa orang-orang Melayu kerana PAS berpegang bahawa orang Melayu patut diberikan hak ketuanan.

Namun perjuangan PAS semenjak 1954 ini gagal, kerana Suruhanjaya Reid telah menerima cadangan Umno tentang hak istimewa orang Melayu. Ekoran itu, PAS berusaha menjamin hak ini dapat dipertahankan setelah kemerdekaan dicapai.

Pada 16 Oktober 1961, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah membawa usul persendirian di Dewan Rakyat untuk memasukkan Indonesia, Filipina dan pulau-pulau Melayu dalam cadangan Malaysia.

Namun cadangan PAS telah ditolak oleh Dewan Rakyat. PAS tetap berpandangan bahawa kemasukan orang bukan Melayu dari Singapura, Sabah dan Sarawak akan memberi kesan buruk terhadap kestabilan politik Tanah Melayu. Ternyata pandangan PAS terbukti apabila berlaku Tragedi 13 Mei 1969.

Akibat dari kebimbangan ini, PAS melalui Mesyuarat Agung Tahunan di Melaka pada 5-6 Januari 1962 telah membincangkan masa depan politik orang Melayu Islam ekoran cadangan penubuhan Malaysia dan keengganan Kerajaan Perikatan mempertimbangkan pandangan PAS.

Pada 5 Januari 1962, PAS telah mengambil pendirian mendesak Kerajaan Persekutuan menjamin kedudukan hak istimewa orang-orang Melayu di dalam Perlembagaan, sekali gus hak ini akan terjamin dari ancaman kemasukan bangsa asing setelah Malaysia ditubuhkan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
5 Januari 2016 - HARAKAHDAILY 5/1/2016

Share on Myspace