Tahniah, Pemuda PAS berjaya buka SRITI

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mengucapkan tahniah kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah dan Pasti yang telah berjaya membuka Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) sebanyak 11 buah di seluruh negara bermula Januari 2016.

"Kita jawab dengan amalan, biarlah orang lain rancak dengan fitnah," ujarnya menerusi laman sosial facebook.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menegaskan, PAS terus mara ke hadapan untuk memimpin perubahan.

Tahniah Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah (JPSR) dan Pasti

Alhamdulillah. Antara inisiatif yang digerakkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sesi kali ini ialah penubuhan satu jabatan khas yang dinamakan Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah (JPSR).

JPSR adalah jabatan yang dipertanggungjawabkan menyelaras sistem, merangka silibus, membuat perancangan strategik dan membuka Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) di seluruh negara.

Alhamdulillah, untuk tahun pertama 2016 sebanyak 11 buah SRITI telah dibuka dan mula beroperasi. Tahniah kepada Ustaz Mohamad Ismail, Pengarah JPSR dan seluruh jawatankuasanya.

SRITI merupakan usaha kesinambungan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), salah satu produk Dewan Pemuda PAS Malaysia yang terus mendapat tempat dan diiktiraf antara pra-sekolah Islam terbaik di Malaysia.

Sebelum ini JPSR diletakkan di bawah Jabatan Pasti DPPM dan penubuhan jabatan baru JPSR DPPM ini dibuat untuk memastikan gerak kerja yang berfokus dan berkesan.

Untuk makluman, terdapat hampir 3,000 Pasti di seluruh negara dari Perlis sampai ke Sabah kini dengan lebih 100,000 pelajar dan ianya semakin berkembang saban tahun.

Tahniah kepada YB Ustaz Mohd Azam Abdul Samat, Ketua Pengarah Jabatan Pasti Malaysia dan seluruh jawatankuasanya. - HARAKAHDAILY 5/1/2016

Share on Myspace